BERSAMA Richard Marx.
BERSAMA Richard Marx.
AKSI dalam drama Idaman.
AKSI dalam drama Idaman.
WAJAH terbaru Nana.
WAJAH terbaru Nana.
Ridzuan Abdul Rahman

Ramai tertanya-tanya ke mana menghilangnya penyanyi 1990-an, Nana Nurgaya?

Kemunculannya ketika itu dengan imej pelik gincu hitam, biji kundang dan hijau serta rambut bertocang halus membuatkan penyanyi yang pernah menghasilkan album berjudul Rentak Rancak Ala Puisi (RRAP) pada 1993 kekal diingati.

Selain itu, Nana atau nama sebenarnya, Nurgayah Abdullah, 43, juga pernah membintangi drama bersiri Idaman 1 dan Idaman 2.

Wataknya sebagai Nadia amat berkesan membuatkan dirinya dikenali peminat dan masih ada yang menegurnya setiap kali berjumpa dan meminta bergambar kenangan.

Hujung tahun lalu, Nana kembali mendapat perhatian kerana mendirikan rumah tangga dengan Mohd Azwan Muhamad Yusof Teh, 36, pada 13 Disember lalu.

“Memang seronok kalau bercerita kisah dulu. Album saya yang diterbitkan Azman Abu Hassan itu boleh dikatakan menarik kerana genre ketika itu rap baru menjadi kegilaan peminat.

“Dunia hiburan kita juga menyaksikan kemaraan artis rap seperti KRU dan kumpulan Res 2. Antara lagu saya yang popular ialah Takkan Melayu Hilang Di Dunia, Inikah Cinta dan That’s All I Need.

“Saya juga terbabit menyanyikan lagu Fantasia Soul untuk album kompilasi karya M Nasir berjudul Bunyi Yang Dilihat yang diterbitkan pada 1994,” katanya kepada BLING!

Selesa dengan kerjaya baru

Nana menyambung lagi, selepas habis berlakon siri Idaman di Astro, dia mengambil keputusan berehat seketika kerana terlalu penat.

“Episodnya memang panjang sehinggakan saya tiada masa untuk berehat. Jadi saya ambil peluang bercuti puas-puas.

“Selepas itu, saya banyak menghabiskan masa untuk aktiviti yang diminati iaitu buat kek dan pastri. Tak sangka ia bertukar menjadi kerjaya baru pula.

“Produk saya menggunakan jenama Nana Nurgaya Cookies dan saya pun sudah ada ramai pelanggan tetap. Saya ada perancangan untuk luaskan lagi perniagaan saya tahun depan,” katanya.

Lulusan Diploma Senilukis & Senireka dari Universiti Teknologi Mara (UiTM) ini mengakui masih meminati bidang nyanyian dan bersedia menyanyi sekiranya ada tawaran menarik.

“Kalau nak tahu, sampai sekarang saya masih menyanyi rap di rumah. Waktu aktif dulu, saya berlatih rap sekitar empat jam sehari. Rap tidak boleh terhenti dan seeloknya dibuat latihan berterusan.

“Terus-terang jika ada mana-mana penyanyi nak ambil saya secara bentuk ‘featuring’ berduet sekarang, saya sedia terima tawaran ini.

“Sebenarnya saya bangga tengok rakan seangkatan yang buat ‘comeback’ kerana mereka berjiwa kental berani bersaing dengan artis junior.

“Kalau kita kaji, artis Barat yang dah berusia seperti Missy Elliott pun masih aktif menyanyi dan membuat rap. Jadi tiada masalah untuk artis kita di sini membuat benda yang sama.

“Cuma apa yang dibuat itu mestilah berkualiti agar tak jadi bahan kritikan masyarakat tambahan pula sekarang ada media sosial. Sekiranya ada rezeki, saya akan menyanyi semula andai berjumpa komposer yang bersesuaian,” katanya yang masih cantik seperti dulu.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 19 November 2016 @ 5:01 AM