Mohd Husni Mohd Noor

Sepang: Lebih 100 orang pengunjung Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (klia2) tidak melepaskan peluang untuk menyaksikan fenomena Supermoon dari Anjung Tinjau, klia2 di sini malam tadi.

Dua teleskop disediakan Planetarium Negara bagi membolehkan orang ramai melihat fenomena berkenaan.

Pegawai Sains Planetarium Negara, Mohd Zamri Shah Mastor berkata, pihaknya mula berada di Anjung Tinjau sejak jam 7 malam sebelum fenomena itu dapat dilihat dengan jelas kira-kira jam 9.30 malam.

Menurutnya, biarpun langit pada mulanya dilindungi awan, Supermoon di klia2 dapat dilihat dengan jelas dari jarak 380,000 kilometer.

"Peluang ini jarang diperolehi dan akan mengambil masa yang lama untuk berulang," katanya ketika ditemui di sini malam tadi.

Katanya, fenomena itu adalah Supermoon terbesar yang berada pada jarak paling dekat dengan bumi sejak 68 tahun lalu.

Aktiviti pencerapan itu turut disaksikan fenomena oleh Ketua Setiausaha Kementerian, Datuk Dr Mohd Azhar Yahaya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 14 November 2016 @ 11:45 PM