Leclerc terpantas sesi latihan GP Russia. FOTO REUTERS
Leclerc terpantas sesi latihan GP Russia. FOTO REUTERS
Reuters

CHARLES Leclerc mengenepikan pemandu Red Bull, Max Verstappen untuk memastikan Ferrari mencatat masa terpantas sesi latihan menjelang Grand Prix Formula Satu (F1) Russia.

Pemandu Monaco itu yang berang selepas strategi Ferrari menafikan kemenangan ketiganya di Singapura, minggu lalu mencatat masa terpantas satu minit 32.462s di litar Sochi sepanjang 5.8 km.

Dia menewaskan Verstappen, pemandu Belanda yang dikenakan penalti lima petak berkaitan enjin dengan hanya 0.082 saat.

Sebastian Vettel yang memintas Leclerc untuk kemenangan Ferrari di Singapura, ketiga terpantas dengan 0.543s di belakang rakan sepasukannya itu.

Pemandu Jerman juara dunia empat kali yang mencipta kemenangan di litar Marina Bay itu menamatkan kemarau selama 13 bulan mengatasi dua pemandu Mercedes, Valtteri Bottas dan Lewis Hamilton.

Gandingan pemandu Mercedes itu ketinggalan hampir satu saat tetapi mencatat masa terpantas dengan dengan tayar sederhana lembut berbanding tayar lembut cengkaman tinggi digunakan oleh Ferrari dan pemandu Red Bull.

Hamilton yang menang lapan perlumbaan musim ini, masih mendahului Bottas dengan 65 mata dalam kedudukan keseluruhan.

Pemandu Britain itu juga berada 96 mata di depan Verstappen dan Leclerc, dua pencabar bukan Mercedes yang berada di tangga ketiga.

Mercedes, pemenang 10 daripada 15 perlumbaan musim ini, mendahului Ferrari dengan 133 mata dalam kedudukan pengeluar ketika saingan berbaki enam pusingan untuk ditamatkan termasuk GP Russia minggu ini.

Bagaimanapun, pasukan Itali itu menang tiga perlumbaan terakhir berturut-turut termasuk 1-2 di Singapura, minggu lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 27 September 2019 @ 7:33 PM