Reuters

Budapest: Juara Formula Satu dunia, Lewis Hamilton melakukan beberapa kesilapan di Grand Prix Hungary kelmarin tetapi masih mampu menjarakkan pendahuluan kepada 21 mata berbanding rakan sepasukannya di Mercedes Nico Rosberg.

“Hari ini antara aksi saya paling buruk dan sudah lama tidak berlaku. Saya berada di semua tempat,” kata pelumba Britain itu selepas memulakan perlumbaan dari petak utama, dikenakan penalti dan tercicir di tangga ke-15 sebelum menamatkan saingan di kedudukan keenam.

“Saya tak pasti adakah ia disebabkan hilang tumpuan atau sebaliknya. Saya pasti memikirkan banyak perkara selepas ini.

“Mungkin saya melalui hari yang buruk sebelum perlumbaan,” kata juara dunia itu yang menang lima daripada 10 perlumbaan setakat ini.

“Adakah saya berhak mendapat mata dengan cara pemanduan seperti itu? Saya perlu berterima kasih kepada Tuhan yang tetap memberikan saya mata.”

Sebelum perlumbaan, Hamilton berkata dia semakin sukakan litar Hungary yang terkenal dengan kepantasannya.

Selaku bekas pemenang empat kali di Litar Hungaroring, dia mendominasi sesi latihan dan layak dengan kepantasan lebih setengah saat berbanding Rosberg yang memulakan perlumbaan di petak kedua.

Kedua-dua pemandu Mercedes itu dipintas Ferrari selepas permulaan sedikit terganggu apabila pemandu Brazil Felipe Massa dari pasukan Williams terkeluar dari litar.

Hamilton yang berada di kedudukan keempat selepas dipintas, terbabas di selekoh pertama mengakibatkan dia ketinggalan di kedudukan ke-10.

Walaupun begitu, dia dilihat masih mampu menang apabila mencatat masa sepusingan lebih pantas berbanding Rosberg dan berjaya memintas pelumba lain untuk menduduki tempat keempat.

Insiden pertembungan Hamilton dengan pemandu Australia Daniel Ricciardo dari Red Bull yang berlaku selepas perlumbaan dimulakan sekali lagi gara-gara kemalangan membabitkan pemandu Force India Nico Hulkenberg, membawa padah apabila dia dikenakan penalti.

“Saya mencuba sebaik mungkin tetapi terlalu banyak halangan. Laluan seolah-olah berpecah dua dan saya sering termasuk ke laluan salah,” kata Hamilton.

Ketika Rosberg menduduki tempat kedua dan dilihat mampu memenangi perlumbaan, kemalangan yang dialami bersama Ricciardo membuatkan Hamilton berjaya memintasnya apabila tayar jentera pemandu Jerman itu pecah dan sekadar menamatkan aksi di tempat kelapan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 28 Julai 2015 @ 7:33 AM