BOTTAS catat masa terpantas hari kedua di Barcelona.
BOTTAS catat masa terpantas hari kedua di Barcelona.
AFP

Barcelona: Pelumba Finland Valtteri Bottas merakam masa terpantas buat Williams pada hari kedua ujian pra musim di Barcelona ketika juara dunia dua kali Mercedes kelihatan semakin yakin.

Bottas mencatat masa kelima terpantas sepanjang enam hari ujian dan kedua terpantas apabila menggunakan tayar lembut dengan catatan 1 minit 23.261 saat.

Masih berbaki dua hari sesi ujian di Barcelona sebelum perlumbaan pertama berlangsung di Australia, 20 Mac ini.

“Ini ujian terakhir saya sebelum ke Melbourne. Saya sudah bersedia dan semakin serasi dengan jentera,” kata Bottas.

“Saya gembira apabila pasukan kami sudah ada perkembangan ketika ujian dan saya yakin akan melakukan lebih banyak perkara positif sebelum Melbourne.”

Juara dunia Lewis Hamilton hanya ketinggalan 0.03s di tempat kedua apabila menggunakan tayar lebih lembut buat kali pertama selepas mencatat jarak lebih jauh dengan W07.

“Jentera kami bagus, kuat dan kami mencuba pelbagai pendekatan tapi ada sedikit lagi yang perlu diteliti,” kata Hamilton.

“Berlumba dengan tayar lebih lembut adalah pengalaman menarik tetapi masih ada penambahbaikan yang perlu dilakukan.”

Hamilton dan Rosberg mencatat 164 pusingan tetapi pemandu Jerman itu hanya mencatat masa kesembilan terpantas semalam.

“Saya banyak menghabiskan masa dengan jentera simulasi dan saya rasa semakin bersedia untuk perlumbaan pertama,” kata Rosberg. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 4 Mac 2016 @ 8:16 AM