Belo Horizonte, Brazil: Mereka mungkin terpaksa bertarung sesama sendiri bagi pertembungan terbaharu antara Brazil dan Argentina namun Neymar tidak membiarkan permusuhan 102 tahun dua negara gergasi Amerika Selatan itu menjejaskan keakrabannya dengan rakan sepasukan Barcelona, Lionel Messi dan Javier Mascherano.

Jadi apabila tiga pemain itu mencari jalan bagaimana untuk ke Belo Horizonte bagi aksi kelayakan Piala Dunia 2018 awal pagi esok, bintang Brazil Neymar tidak teragak-agak menawarkan Messi dan Mascherano menumpang jet peribadinya.

Trio itu mendarat di bandar raya itu semalam untuk menyertai skuad masing-masing menjelang pertembungan getir minggu ini.

Foto ketiga-tiganya tersenyum dalam jet peribadi Neymar terpampang dalam media sosial semalam sebaik mereka tiba di Brazil bagi pertembungan ‘superclasico’ Amerika Selatan itu.

Argentina berlatih buat kali pertama lewat semalam di Belo Horizonte, pangkalan pasukan itu ketika kempen Piala Dunia 2014.

Juara dunia dua kali itu terdesak untuk meraih keputusan positif selepas hanya mengutip dua mata daripada maksimum sembilan dalam tiga perlawanan terakhir mereka.

Keputusan itu menyebabkan Argentina menghuni tangga keenam dalam kalangan 10 negara.

“Ini peluang terbaik buat kami membuktikan kami boleh mencabar pendahulu,” kata penyerang Argentina dan Manchester City, Sergio Aguero. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 10 November 2016 @ 6:41 AM