MESSI
MESSI

Berlin: Barcelona akan berkunjung ke Borussia Moenchengladbach bagi aksi Liga Juara-Juara awal pagi esok tanpa Lionel Messi namun kelab Sepanyol itu mempunyai pilihan mencukupi dan kekuatan bagi mengisi kekosongan ditinggalkan pemain Argentina itu, menurut jurulatih Luis Enrique.

Messi diketepikan selama tiga minggu kerana kecederaan pangkal paha namun Barca tidak terjejas tanpa kehadirannya Sabtu lalu, membenam lima gol melepasi Sporting Gijon menjelang aksi Kumpulan C itu.

Perlawanan pembukaan mereka di Eropah lebih menakjubkan apabila kelab gergasi Sepanyol itu membelasah Celtic 7-0 untuk mendahului dengan perbezaan gol di depan Manchester City, yang dibimbing bekas jurulatih mereka Pep Guardiola.

Barcelona sudah menjaringkan 18 gol dalam empat perlawanan sejak tumpas 1-2 di laman sendiri kepada Alaves pada 10 September lalu dengan Neymar dan Luis Suarez bertindak hebat.

“Saya mempunyai pemain berbeza dan ia memberi saya banyak pilihan,” ujar Luis Enrique. “Bergantung kepada pasukan mana yang kami temui dan pemain yang boleh diturunkan, saya akan memilih apa yang saya fikirkan tepat bagi satu-satu situasi.

“Untuk kehilangan Messi bermakna satu kehilangan buat bola sepak juga. Bersama Messi kami lebih kuat, namun kami akan terus menjadi kuat,” katanya.

Beliau merehatkan beberapa pemain Sabtu lalu termasuk Ivan Rakitic, Andres Iniesta, Jordi Alba dan Javier Mascherano.

Bagi penjaga gol Barca, Marc Andre ter Stegen ia satu kepulangan mengujakan ke kelab yang ditinggalkannya pada 2014.

“Saya mengalami masa fantastik di sana dan bermain dengan kelab hampir sepanjang karier saya kecuali dua tahun terakhir,” jelas Ter Stegen. - Reuters

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 28 September 2016 @ 9:50 AM