Sebahagian penyokong pasukan Atletico Mineiro dari Brazil mendapatkan tatu percuma. FOTO AFP
Sebahagian penyokong pasukan Atletico Mineiro dari Brazil mendapatkan tatu percuma. FOTO AFP
AFP

Belo Horizonte, Brazil: Masih segar daripada kejuaraan liga Brazil buat pertama kali dalam tempoh 50 tahun, kelab bola sepak Atletico Mineiro menghadiahkan penyokongnya tatu percuma bagi meraikan kejayaan mereka.

Ratusan penyokong berbaris dalam cuaca hujan di pangkalan kelab berkenaan dekat Belo Horizonte, untuk mendapatkan salah satu daripada empat corak kekal di bahagian badan mengikut pilihan mereka.

Penganjur menyediakan kira-kira 30 artis tatu untuk melakukan kerja berkenaan di MRV Arena, gelanggang baru pasukan juara itu yang masih dalam proses penyelenggaraan.

Atletico Mineiro lakar sejarah menjuarai Liga Brazil. FOTO EPA.
Atletico Mineiro lakar sejarah menjuarai Liga Brazil. FOTO EPA.

Beberapa pilihan corak tatu diberikan percuma kepada penyokong seperti gambar trofi, ayam yang juga maskot kelab, perkataan dengan "The Rooster Won" dan lukisan gambar stadium.

"Saya mempunyai semangat ayam dalam jiwa saya dan kini saya mempunyai satu lagi di lengan saya," kata seorang penyokong berusia 73 tahun sambil menayangkan tatu barunya.

Beberapa penyokong setia kelab itu dipercayai beratur sejak tengah malam untuk memastikan mereka memperoleh tempat dalam 1,000 tatu yang ditawarkan.

Penganjur turut menggalakkan mereka yang hadir mendermakan satu kilogram makanan untuk program amal.

Program berkenaan ditaja oleh syarikat kontraktor MRV diasaskan oleh Rubens Menin, salah seorang daripada mereka yang membantu kewangan Atletico Mineiro untuk membolehkan kelab itu menandatangani beberapa pemain bintang.

Kelab itu merangkul gelaran kedua liga dalam sejarah mereka selepas mencatat kemenangan 3-2 ke atas Bahia, pada Khamis dan mengesahkan kejuaraan buat pertama kali sejak 1971 dengan berbaki dua perlawanan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 7 Disember 2021 @ 8:44 AM