Santiago: Chile tidak akan cuba meletakkan seorang pemain khusus mengawal perancang utama Argentina, Lionel Messi pada final Copa America sebaliknya menumpukan permainan hantaran pantas, kata kapten dan penjaga gol Claudio Bravo, semalam.

Bravo amat mengenali Messi ketika bersama di Barcelona musim lalu dan sedar pemain Argentina itu sukar disekat, awal pagi esok.

“Sukar mengambil kira kebolehan Leo. Jika anda lihat apa yang dilakukan dalam kariernya, ia menakjubkan, tapi kami tidak akan meletakkan seorang pemain menjaganya sepanjang 90 minit perlawanan,” ujar Bravo.

“Bukan dia seorang saja yang bermain. Kami perlu bimbang mengenai Argentina sebagai satu pasukan, bukan setakat Leo.”

Perlawanan awal pagi esok akan mempertemukan Bravo dengan seorang lagi rakan sepasukan Barcelona, pemain tengah bertahan Argentina, Javier Mascherano.

“Ia satu penghormatan bermain menentang dua rakan sekelab. Saya harap mereka tidak bermain seperti selalu bersama kelab saya,” katanya berjenaka.

“Javier menjadi tunjang utama pasukan itu dan mereka (Argentina) memiliki pasukan hebat, bukan setakat Leo dan Javier, mereka mempunyai ramai pemain hebat.”

Bravo berharap muncul kapten pertama Chile menjulang Copa America manakala Argentina berusaha menyamai rekod 15 kejuaraan. - Reuters

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 4 Julai 2015 @ 6:34 AM