MOHAMAD Ariff (kiri) menyerahkan penajaan RM2 juta kepada Subahan. FOTO TNB
MOHAMAD Ariff (kiri) menyerahkan penajaan RM2 juta kepada Subahan. FOTO TNB
Aida Adilah Mat


Kuala Lumpur: Tamatnya tirai Piala Tenaga Nasional Berhad (TNB) dan Liga Hoki Malaysia (MHL), Konfederasi Hoki Malaysia (MHC) hari ini memaklumkan sudah menerima wang tajaan dari penaja rasmi TNB sebanyak RM2 juta bagi menjamin kelangsungan penganjuran Liga Hoki TNB-MHL.

Penajaan berkenaan disampaikan oleh Ketua Pegawai Perkhidmatan Korporat TNB, Mohamad Ariff Zainol kepada Presiden MHC, Datuk Seri Subahan Kamal dalam satu majlis simbolik di Ibu Pejabat TNB baru-baru ini.

Subahan dalam satu kenyataan melahirkan kesyukuran dengan komitmen TNB meneruskan tajaan dalam menjamin liga hoki kebangsaan kekal menyemarakkan sukan hoki tanah air sekali pun dalam keadaan sukar.

"Kami (MHC) amat bertuah. Bagi sukan hoki negara kami amat bersyukur kerana TNB tidak pernah mengecewakan, apatah lagi banyak urusan dan aktiviti lain di negara ini, terjejas akibat pandemik," katanya

Sementara itu Ariff berkata, TNB meneruskan komitmen itu sekalipun dalam keadaan sukar susulan pandemik Covid-19 yang memaksa liga dilangsungkan secara gelembung sukan sepenuhnya bagi mematuhi prosedur operasi standard (SOP), sekali gus meningkatkan kos penganjuran.

"Kami di TNB sentiasa menyokong usaha-usaha memartabatkan sukan hoki dan ini adalah kesinambungan komitmen kami dalam melahirkan pemain-pemain hoki bertaraf dunia," katanya.

Untuk rekod TNB sudah menjadi penaja utama liga hoki kebangsaan sejak 2006 yang menjadi gelanggang mempertemukan pemain utama hoki tempatan untuk dipilih dan digandingkan dalam skuad kebangsaan.

Malah liga TNB-MHL semakin matang sehingga dapat memikat bintang untuk beraksi sebagai pemain import kepada pasukan tempatan sepanjang tempoh liga.

Hanya pada tahun ini ia terhad kepada pemain tempatan berikutan penutupan pintu sempadan akibat Covid-19.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 7 April 2021 @ 2:14 PM