Gan (kanan) bersama pekerjanya menunjukkan minyak masak yang masih mencukupi untuk dijual kepada pembekal dan orang ramai. FOTO Nik Abdullah Nik Omar
Gan (kanan) bersama pekerjanya menunjukkan minyak masak yang masih mencukupi untuk dijual kepada pembekal dan orang ramai. FOTO Nik Abdullah Nik Omar
Mohamad Zulhairie Manzaidi


Kota Bharu: Sebuah syarikat pembekal minyak masak di negeri ini mencadangkan supaya subsidi barang keperluan itu dimansuhkan sepenuhnya bagi mengelakkan pembaziran selain penyeludupan.

Kerajaan ketika ini hanya mengekalkan subsidi untuk minyak masak paket satu kilogram yang wajib dijual pada harga RM2.50.

Namun Pengerusi Eksekutif Link Holders Packaging Industries Sdn Bhd, Gan Leong Piow berkata, ada peniaga di Kelantan yang menjual produk itu pada harga antara RM3 ke RM3.50.

"Jika kerajaan mansuh terus subsidi ini dan mengapungkan harga bahan mentah mengikut pasaran terbuka, maka ia akan dijual sekitar RM3 ke RM4.

"Jadi tidak banyak beza dengan situasi sekarang, di mana ada peniaga yang menjualnya tanpa mengikut peraturan kerajaan (lebih RM2.50).

"Di kawasan pedalaman pun ada peniaga yang jual sehingga RM3.50 berdasarkan maklum balas pembeli. Sebab itulah saya cadangkan supaya dimansuhkan saja subsidi bagi elak terus berlaku pembaziran dan penyeludupan," katanya ketika ditemui di pejabatnya di Padang Tembak, di sini, hari ini.

Gan berkata, beliau yakin jika subsidi dimansuhkan, harga minyak masak paket masih jauh lebih rendah berbanding dijual di dalam botol yang ketika ini berharga RM4.20 untuk setiap kilogram serta berubah mengikut pasaran.

Beliau juga memberitahu bekalan minyak masak untuk pengguna mencukupi malah syarikatnya membekalkan 60 metrik tan sehari untuk seluruh Kelantan, Jerteh dan Besut.

"Saya akui ada peniaga Thailand memohon untuk membeli secara borong dengan syarikat tapi kita tidak pernah menawarkan kepada pihak ini.

"Selama 10 tahun saya amalkan kaedah pembekalan kepada peniaga tempatan dengan cara menunjukkan lesen perniagaan mereka.

"Jika subsidi dimansuhkan, mungkin pembekal seperti saya boleh fikirkan peluang eksport ke luar negara termasuk Thailand secara sah. Tak ada penyeludupan lagi dan lebih ramailah pengeluar berlumba pasarkan produk mereka yang nanti boleh turunkan harga pasaran (disebabkan pengeluaran tinggi)," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 8 November 2016 @ 4:14 PM