GAMBAR hiasan. FOTO BERNAMA
GAMBAR hiasan. FOTO BERNAMA
Mohamed Farid Noh

Johor Bahru: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) disaran meletakkan pegawai khas memantau pembungkusan minyak masak paket bersubsidi di kilang minyak, bagi memastikan penjualan barang keperluan berkenaan tidak lagi dimanipulasi, selain sering tiada di pasaran.

Pengerusi Persatuan Penggerak Pengguna Johor Md Salleh Sadijo berkata, langkah itu perlu dilakukan berikutan minyak bersubsidi yang dikawal dan dijual pada harga RM2.50 sekilogram (kg) sepaket kini semakin sukar didapatkan di pasaran.

Katanya, pihaknya menerima banyak aduan dan keluhan pengguna di negeri ini yang terbeban dengan kenaikan mendadak harga minyak botol dengan minyak masak bersubsidi kehabisan stok sejak hampir dua minggu lalu.

"Jika kita lihat di pasaran, minyak botol yang harganya naik mendadak sejak bulan lalu tidak pernah kekurangan bekalan sebaliknya melimpah ruah di rak-rak premis jualan terutama kedai runcit, kedai serbaneka dan pasar mini.

"Manakala minyak masak bersubsidi yang dijual dalam paket sekilogram pula tiada di pasaran dengan alasan bekalan sudah habis, padahal ia tidak banyak dikeluarkan.

"Hakikatnya barang keperluan harga subsidi terutamanya minyak masak bersubsidi memang tidak ramai pengeluar yang mahu jual kerana margin keuntungannya dianggap rendah dan tidak berbaloi," katanya dalam temu bual di pejabat NSTP, hari ini.

Turut hadir, Timbalan Pengerusi Persatuan Penggerak Pengguna Johor Vegent Pang Wai Keong.

Bekalan minyak masak paket satu kg di sekitar bandar raya ini dilaporkan kehabisan sejak dua minggu lalu, sekali gus menyebabkan pengguna resah.

Tinjauan di beberapa pasar, pasar mini dan kedai serbaneka di Tampoi, Skudai dan Taman Perling, di sini, semalam mendapati kebanyakan kedai sudah keputusan bekalan minyak masak paket dan mendakwa tidak lagi mendapat bekalan daripada pembekal.

Sementara itu, Md Salleh berkata, pihaknya menjangkakan trend kenaikan harga barang dan kesukaran minyak masak paket ditemui di pasaran akan berterusan sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dikuatkuasakan.

Katanya, ia disebabkan kesukaran pegawai penguatkuasa KPDNHEP selain badan bukan kerajaan (NGO) berkaitan pengguna turun padang bagi memantau harga barang selain memeriksa bekalan barang keperluan dengan lebih kerap.

"Faktor kurangnya pemantauan antara punca kenaikan harga barang keperluan di pasaran selain sikap peniaga dan pembekal yang tidak bertanggungjawab mengambil kesempatan.

"Mereka tahu walau harga mahal, masyarakat perlu dapatkan juga sebab ia barang keperluan.

"Alasan bekalan barang tidak ada dan tidak cukup selain bencana banjir menyebabkan harga barang naik adalah alasan lapuk.

"Apa yang perlu adalah penguatkuasaan dari agensi pemantau perlu lebih agresif supaya peniaga dan pembekal lebih bertanggungjawab dan tidak mengambil kesempatan," katanya.

Beliau berkata, pengguna juga harus lebih bijak dan mencari alternatif lain jika barang keperluan di kawasan mereka terus naik harga.

"Gunakan kuasa pengguna termasuk buat aduan terus kepada KPDNHEP jika mereka menjadi mangsa kerakusan peniaga," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 19 January 2021 @ 5:03 PM