Zuliaty Zulkiffli


Alor Setar: Peniaga runcit dan pasar mini di sekitar daerah ini terpaksa mengehadkan pembelian minyak masak berpaket bagi mengelakkan bekalan terputus.

Tinjauan di sekitar bandaraya ini mendapati, peniaga mengehadkan penjualan tiga paket kepada satu keluarga bagi mengelakkan pembelian pada jumlah banyak.

Peniaga pasar mini di Alor Mengkudu, Nasyitah Hussin, 31, berkata, dalam sehari dia hanya menjual 30 paket minyak masak walaupun permintaan bekalan minyak itu meningkat.

Katanya, ada pelanggan yang sanggup datang setiap hari semata-mata untuk membeli minyak masak tetapi dia hanya menjual bergantung pada stok.

"Satu paket dijual pada harga RM2.50 dan sudah tentu ia menjadi pilihan pengguna.

"Saya terpaksa letak di kaunter bayaran bagi mengelak ada pelanggan yang ambil stok melebihi yang ditetapkan.

"Kebanyakan pelanggan adalah dalam kalangan peniaga makanan di kawasan berhampiran pasar mini ini tetapi rata-rata mereka faham," katanya ketika ditemui hari ini.

Nasyitah berkata, bekalan minyak masak botol pula sudah habis dan dia sudah membuat tempahan daripada pemborong.

Katanya, berkemungkinan akan berlaku pembelian panik sebelum 1 Julai ini berikutan harga subsidi minyak masak akan dimansuhkan.

"Satu kilogram (kg) minyak masak botol dijual pada harga RM6.70, dua kg pada RM12.70, RM18.70 untuk tiga kg dan lima kg pada harga RM29.70," katanya.

Sementara suri rumah, Noor Asyikin Ahmad, 34, berkata, dia lebih suka membeli minyak paket kerana harganya murah tetapi disebabkan stok terhad dan cepat habis, dia memilih untuk memakai minyak masak botol.

Katanya, dia terpaksa membeli stok dengan banyak kerana bahan mentah itu cepat habis kerana memiliki anak ramai.

Selain itu, Siti Aminah Ayub, 55, berkata, dia menggunakan kira-kira lima paket minyak masak sehari untuk menjual makanan di gerainya, ada kalanya terpaksa menggunakan semula minyak yang sudah digunakan.

Katanya, jika minyak masak habis di pasaran, sudah tentu dia terpaksa menutup perniagaannya sementara waktu.

NASYITAH menunjukkan ruang minyak masak botol yang hampir habis di premisnya. FOTO Zuliaty Zulkifli.
NASYITAH menunjukkan ruang minyak masak botol yang hampir habis di premisnya. FOTO Zuliaty Zulkifli.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 28 Jun 2022 @ 2:10 PM