Rosnani menunjukkan lokasi dia diacu pistol. FOTO Mohammad Ishak
Rosnani menunjukkan lokasi dia diacu pistol. FOTO Mohammad Ishak
Mohammad Ishak


Jertih: Wanita cemas apabila diacu pistol di kepala sebelum keluarganya dirompak seorang lelaki dalam kejadian di Kampung Alur Lintang, di sini, kira-kira 7 malam tadi.

Rosnani Ali Muhamad, 42, dikatakan baru pulang ke rumahnya dan ketika mahu membuka pintu dia didatangi seorang lelaki yang memakai topi keledar bertutup penuh.

Bunyi bising itu menyebabkan suaminya Azulhan Che Yusof, 46, yang berada di dalam rumah bersama dua anak berusia tujuh bulan dan 21 tahun keluar.

Berikutan itu, lelaki berkenaan mengugut untuk menembak Rosnani dan minta supaya Azulhan menyerahkan wang yang terdapat di dalam beg pinggang dipakainya.

Bimbang kejadian lebih buruk berlaku menyebabkannya menyerahkan wang tunai berjumlah RM15,000 kepada lelaki berkenaan sebelum suspek melarikan diri dengan motosikal.

Ketua Polis Daerah Besut Superintendan Mohd Zamri Mohd Rowi mengesahkan kejadian itu dan kes disiasat mengikut Seksyen 392 dan 337 Kanun Keseksaan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 3 November 2016 @ 4:36 PM