Salah satu cermin mesin ATM yang dipecahkan. FOTO Rahmat Othman
Salah satu cermin mesin ATM yang dipecahkan. FOTO Rahmat Othman
Zuliaty Zulkiffli


Jitra: Cermin dua mesin juruwang automatik (ATM) dipecahkan dalam kejadian di dua bank berasingan di Pekan Jitra 2, di sini, awal pagi tadi dan ia dipercayai perbuatan vandalisme.

Ketua Polis Daerah Kubang Pasu Superintendan Abdul Hadi Hassan berkata, berdasarkan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) mendapati seorang lelaki berbaju hitam dan berseluar jeans memasuki ke dalam kawasan bank sebelum memukul cermin ATM lalu beredar keluar dari situ.

Katanya, suspek kemudian dikatakan masuk pula ke dalam dua bank itu dalam tempoh dua minit iaitu antara jam 2.56 pagi di bank pertama dan 2.58 pagi di bank kedua.

"Siasatan awal kita percaya suspek dipercayai menggunakan tukul untuk memecahkan cermin ATM dikedua-dua bank berkenaan sebelum melarikan diri.

"Bagaimanapun, pemeriksaan lanjut mendapati tiada wang dilaporkan hilang di dalam kedua-dua mesin ATM itu dan setakat ini polis masih menjalankan siasatan bagi mengenal pasti motif sebenar ia dipecahkan," katanya.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan kerana melakukan perbuatan khianat.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 1 November 2016 @ 4:50 PM