HOFBAUER (duduk dua dari kiri) memberi sentuhan terakhir hiasan Kolam.
HOFBAUER (duduk dua dari kiri) memberi sentuhan terakhir hiasan Kolam.

Setiap kali menjelang musim perayaan perasaan teruja akan menyelubungi hati setiap orang namun bagi mereka yang kurang bernasib baik, biasanya persediaan dilakukan ala kadar mengikut kemampuan.

Namun, kedatangan kakitangan Nestle Malaysia menerusi Program Sukarelawan Kakita–ngan Mendekati Masyarakat dan Kanak-Kanak (Rocks) berjaya membuatkan kakitangan dan penghuni Pusat Penjagaan Siddharthan tersenyum.

Mana tidaknya, sambutan Deepavali khas untuk kanak-kanak di rumah penjagaan itu di ibu pejabat Nestle Malaysia di Menara Surian begitu meriah, kakita–ngan dan sukarelawan meraikan kanak-kanak terbabit dengan pelbagai aktiviti.

Kanak-kanak itu nyata begitu menikmati petang yang menyeronokkan antaranya menerusi aktiviti melukis sepanduk Deepavali dengan tapak tangan mereka bersama ahli Rocks. Peluang itu dimanfaatkan sebaiknya oleh sukarelawan Rocks untuk beramah mesra dengan kanak-kanak dari pusat penjagaan itu.

Dalam suasana riang, mereka saling bertukar idea yang akhirnya menghasilkan rekaan unik dan berwarna-warni sesuai dengan majlis itu.

Pengarah Urusan NestlÈ Malaysia Alois Hofbauer yang hadir pada program itu turut meluangkan masa mendekati dan beramah mesra bersama penghuni pusat penjagaan itu selain menghasilkan sentuhan terakhir rekaan istimewa kolam.

Beliau turut menyerahkan sumbangan mesin basuh yang amat diperlukan Pusat Penjagaan Siddharthan. Kemeriahan Deepavali turut dibawa ke pejabat Nestle Malaysia di Menara Surian apabila pelbagai kaum, agama dan bangsa datang bersama-sama untuk menikmati hidangan bufet perayaan lazat termasuk pulao Moghul gajus dan kismis, dalca sayur-sayuran, ayam cili varuval dan ghobi aloo.

Bagi menggalakkan kakitangan mengetahui lebih lanjut mengenai perayaan itu, syarikat itu turut menganjurkan pertandingan hiasan aras terbaik yang menyaksikan setiap jabatan menghias tingkat masing-masing dengan pelbagai warna dan perhiasan dalam semangat Deepavali sebenar.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 1 November 2016 @ 5:16 AM