SUKARELAWAN Rock di Rumah Kebajikan Sinthamani Divine Life Ashram.
SUKARELAWAN Rock di Rumah Kebajikan Sinthamani Divine Life Ashram.

Kebajikan tidak mengenal batas dan sempadan, apatah lagi dalam usa­ha menggembirakan orang lain khususnya pada musim perayaan kepada golongan yang kurang bernasib baik.

Kedatangan kakitangan Nestle Malaysia menerusi Program Sukarelawan Kakitangan Menghulurkan Tangan kepada Masyarakat dan Kanak-Kanak (Rocks) berjaya membuatkan kakitangan dan penghuni Rumah Kebajikan Sinthamani Divine Life Ashram tersenyum.

Mana tidaknya, mereka tidak datang sebagai tetamu sebaliknya membawa ‘tenaga kerja’ yang bersama-sama membersihkan rumah, memasang langsir baru dan mengemas perpustakaan di rumah perlindungan yang menempatkan 70 penghuni terdiri daripada kanak-kanak dan warga emas kurang bernasib baik.

Penghuni kanak-kanak yang paling teruja ketika kerja mengemas rumah dijalankan kerana tidak sabar hendak melihat hasilnya. Peluang itu dimanfaatkan sebaiknya oleh sukarelawan Rock untuk beramah mesra dengan penghuni di situ.

Kemeriahan Deepavali turut dibawa ke pejabat Nestle Malaysia di Menara Surian di mana kakitangannya disajikan dengan pelbagai sajian enak seperti kekacang berempah, vadai dan kandi kelapa.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 17 November 2015 @ 5:01 AM