KANAK-KANAK dari Philea Home memilih pakaian dan aksesori untuk digayakan ketika Deepavali sambil dibantu sukarelawan F&N Beverages.
KANAK-KANAK dari Philea Home memilih pakaian dan aksesori untuk digayakan ketika Deepavali sambil dibantu sukarelawan F&N Beverages.
Oleh Nor Faizah Mohamed


Tangan yang memberi sememangnya lebih baik daripada yang menerima. Namun, tangan yang menerima itu pula tidak ketinggalan memperoleh kegembiraan dan kebahagiaan, sama seperti yang memberinya.

Banyak perkara yang boleh dilakukan dalam usaha menyumbang kepada aktiviti kebajikan bagi membantu golongan memerlukan.

Menderma dan kerja sukarelawan antara usaha yang kerap dilakukan apabila sesebuah badan, organisasi atau individu memerlukan bantuan.

Seperti apa yang dilihat ketika aktiviti kebajikan interaktif F&N Beverages Marketing Sdn Bhd (F&N) bersama 19 kanak-kanak dari Philea Home, minggu lalu, tiada lebih menggembirakan bagi mereka apabila diberi perhatian seperti insan lain.

F&N berusaha merealisasikan impian kanak-kanak ini bagi menjalani kehidupan seperti rakan sebaya normal dengan berpeluang membeli-belah dan mencuba pakaian sendiri di kedai.

Kanak-kanak ini merasai keseronokan memilih helaian kegemaran mereka di Ajuntha Textiles, Klang sebagai persiapan menjelang perayaan Deepavali minggu lalu sambil dibantu kakitangan F&N.

Aktiviti membeli-belah ini acara tahunan F&N Beverages Marketing Sdn Bhd dan sebahagian daripada Program Deepavali F&N Beverages untuk berkongsi kegembiraan serta kemeriahan bersama golongan kurang bernasib baik di musim perayaan.

Ini tahun kelima ia diadakan dan jelas Pengurus Hal Ehwal Korporat F&N Beverages, Cariessa Goh, kanak-kanak ini dilayan bak puteri bagi membolehkan mereka merasai keseronokan berbelanja seperti kanak-kanak lain.

“Peluang keluar membeli-belah seperti ini mungkin satu kebiasaan bagi kebanyakan kanak-kanak, tetapi ia perkara yang sukar diperoleh anak yatim dan kanak-kanak kurang bernasib baik ini.

“Mereka bukan saja saja jarang mendapat peluang seperti ini, malah ramai yang tidak dapat menyambut perayaan bersama keluarga masing-masing,” katanya.

Berbekalkan RM200 setiap seorang, mereka menelusuri rak pakaian untuk mencari pakaian baru berasaskan fesyen, corak dan warna kegemaran masing-masing.

Kanak-kanak dalam usia lima hingga 19 tahun ini nyata teruja menantikan memilih sendiri pakaian yang menepati keinginan mereka.

Vani Elongo, 16, menyifatkan perayaan Deepavali kali ini berbeza baginya dan adik perempuannya di Philea Home.

“Biasanya, kami beraya dari rumah ke rumah, bermain bunga api dan buat kuih untuk Deepavali.

“Disebabkan itulah kami semua tak sabar untuk keluar membeli-belah dan saya dapat memilih baju Punjabi dan blaus sendiri!” katanya yang berlindung di Philea Home sejak 10 tahun lalu.

Diasaskan pada 2004 oleh Yoges Alexander dan suaminya, Philea Home memberi perlindungan kepada kanak-kanak terbiar dan yang dianiaya.

Selain menguruskan pendidikan mereka, rumah ini menyediakan persekitaran selamat dan selesa untuk pertumbuhan kendiri positif.

Dengan hanya beberapa kakitangan bergaji yang bekerja di rumah itu, Philea Home banyak bergantung kepada pekerja sukarela untuk membantu menguruskan keperluan harian penghuninya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 18 November 2015 @ 5:00 AM