AHMAD Shapawi berkata berkenaan bukannya digugurkan cuma kontrak mereka dalam Program Podium sudah ditamatkan. FOTO AIZUDDIN SAAD
AHMAD Shapawi berkata berkenaan bukannya digugurkan cuma kontrak mereka dalam Program Podium sudah ditamatkan. FOTO AIZUDDIN SAAD
Syazwan Msar


Kuala Lumpur: Majlis Sukan Negara (MSN) sudah melakukan tapisan dengan menyenaraikan atlet yang akan ditawarkan untuk mengikuti program latihan bermula tahun 2022.

Ketua Pengarah MSN, Datuk Ahmad Shapawi Ismail memaklumkan bahawa pihaknya sudah mengadakan perjumpaan dengan sebahagian besar persatuan sukan di negara ini bagi mendapatkan maklum balas berkaitan senarai nama atlet itu.

Malah, menerusi perjumpaan itu, pihaknya juga akan mengambil kira pandangan dan keluhan persatuan sukan apabila terdapat atlet mereka kemungkinan tidak lagi berada dalam program latihan berkenaan.

"Seperti yang saya ingatkan, mereka (atlet) ini bukannya digugurkan cuma kontrak mereka dalam Program Podium sudah ditamatkan sebelum kami menawarkan (kontrak) baru kepada atlet terpilih.

"Senarai nama ini akan dibentangkan kepada Majlis Olimpik Malaysia (MOM), Kementerian Belia dan Sukan (KBS) serta Institut Sukan Negara (ISN) untuk tindakan lanjut.

"Kita akan maklumkan senarai nama ini dalam masa terdekat supaya program latihan ini dapat dilaksanakan segera," katanya, ketika dihubungi Arena Metro.

Terdahulu, MSN menetapkan pencapaian di peringkat tertinggi sebagai petunjuk prestasi utama untuk membolehkan atlet kekal dalam program latihan bermula tahun 2022.

Berdepan realiti tiadanya peruntukan khusus untuk meneruskan Program Podium yang berakhir sebaik tamatnya temasya Sukan Olimpik dan Sukan Paralimpik Tokyo 2020, penetapan syarat lebih ketat ini adalah langkah yang perlu diperkenalkan semula.

Penilaian prestasi atlet dinilai sejak dari 2019 ekoran dunia sukan negara dan antarabangsa seolah-olah terhenti sementara sepanjang tahun 2020 sehingga kini.

Tindakan ini diterjemahkan dengan langkah mengekalkan atlet yang benar-benar layak bagi program latihan sepenuh masa untuk tempoh persiapan menghadapi tiga temasya utama membabitkan Sukan Sea, Sukan Komanwel dan Sukan Asia/ Para Asia pada tahun depan.

Jumlah atlet yang dikenal pasti akan kekal mengikuti program latihan secara sepenuh masa adalah seramai 288 atlet yang juga kumpulan atlet berpotensi meraih pingat pada tiga temasya sukan berkenaan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 20 Disember 2021 @ 8:08 PM