SHAPAWI (dua dari kanan) bersama  sebahagian daripada atlet Sukan Sea dan Para Asean ketika melakukan lawatan Ekspo Negaraku di Dataran Merdeka, Kuala Lumpur. -Foto SYARAFIQ ABD SAMAD
SHAPAWI (dua dari kanan) bersama sebahagian daripada atlet Sukan Sea dan Para Asean ketika melakukan lawatan Ekspo Negaraku di Dataran Merdeka, Kuala Lumpur. -Foto SYARAFIQ ABD SAMAD
Jumiati Rosly dan Azlan Muhammad Zain


MAJLIS Sukan Negara (MSN) akan melancarkan program persediaan jangka pendek ke Sukan Komanwel di Gold Coast, Australia dan Sukan Asia di Indonesia 2018 serta program persediaan atlet jangka panjang ke arah menghadapi dua temasya dwi tahunan - Sukan SEA 2019 di Filipina dan 2021 di Vietnam, tidak lama lagi.

Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN) Datuk Ahmad Shapawi Ismail berkata secara dasarnya terdapat dua kumpulan atlet bagi persediaan ke Sukan Komanwel dan Sukan Asia iaitu atlet yang sudah disenarai ke dalam Program Podium bersama Institut Sukan Negara (ISN) dan MSN akan mengadakan program bagi satu lagi kumpulan atlet yang belum melayakkan diri secara rasmi ke Sukan Komanwel dan Sukan Asia.

“Jadi kita (MSN) akan membuat persediaan program bagi kumpulan ini (kumpulan yang belum melayakkan diri) berdasarkan perbincangan kita dengan setiap persatuan sukan kebangsaan (NSA) untuk melakukan persediaan bagi membolehkan mereka bertanding di Sukan Komanwel dan Sukan Asia,” katanya.

Shapawi berkata dia baru sahaja mengadakan bengkel dalam persediaan program pembangunan bersama jurulatih dan mereka yang terbabit dalam persediaan ke Sukan Komanwel dan Sukan Asia, semalam disusuli dengan mesyuarat Jawatankuasa Kerja (JKK) bersama NSA akan diadakan bulan hadapan bagi meluluskan program yang sudah dirancangkan menerusi bengkel itu.

“Secara dasarnya Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar dan ahli lembaga MSN telah meluluskan pendekatan yang akan kita lakukan untuk hadapi Sukan Komanwel dan Sukan Asia. Program akan bermula Disember ini degan atlet yang sudah bersetuju bersama akan meneruskan latihan sementara mereka yang tak terpilih akan kita pertimbangkan untuk program 2019/2021 yang akan dilancarkan tahun hadapan,” katanya.

Katanya program jangka masa panjang untuk dua Sukan SEA itu akan memberi fokus kepada atlet remaja iaitu kumpulan pelapis bagi menghadapi temasya dwi tahunan itu.

Terdahulu, Shapawi mengetuai lebih kurang 40 atlet melawat pameran interaktif terbesar, Ekspo Negaraku di Dataran Merdeka yang mempamerkan pembangunan terkini dan perancangan akan datang kerajaan dalam memberi kehidupan sempurna dan sejahtera bagi rakyat Malaysia.

“Kita sedang aturkan setiap atlet yang berkampung di MSN untuk hadir ke Ekspo ini kerana mahu mereka melihat di luar kepompong mereka tentang pembangunan negara, perjalanan pembangunan negara bagi membuka minda mereka sesuatu yang berlainan di luar bidang mereka sendiri,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 22 November 2017 @ 4:08 PM