Oleh Shakilawati Abd Rahman

Drama Rindu Awak 200% melonjakkan nama Ayda Jebat. Meskipun pembabitannya dalam dunia lakonan masih baru, penangan populariti drama adaptasi novel itu membuka laluan untuknya melangkah lebih jauh.

Jika sebelum ini hanya berpeluang memegang watak sampingan, Ayda tidak menang tangan menerima tawaran baik untuk drama siri mahupun telefilem selepas namanya menjadi sebutan.

Perubahan drastik itu pasti satu rahmat buat pendatang baru ini. Setiap hari dia tidak putus-putus melafazkan rasa syukur ke hadrat Ilahi. Apa yang berlaku umpama mimpi indah.

"Alhamdulillah, Rindu Awak 200% menjadi pembuka rezeki kepada saya. Sejak drama itu bersiaran, rezeki saya tidak putus sampai sekarang.

"Sebelum itu banyak juga drama saya jayakan tetapi pendedahannya tidak seluas Rindu Awak 200%," katanya.

Bakal muncul dengan telefilem Kubur Berdarah arahan Michael Ang, Ayda juga dilamar membintangi dua filem pada 2015. Bermula dengan karya seram arahan Ahmad Idham yang akan memulakan penggambaran Januari depan, Ayda bakal terbabit pula dengan filem romantik arahan Aidil Fitri yang dijangka menjalani penggambaran di Malaysia dan Sri Lanka.

Kata Ayda, dua tawaran ini ibarat bulan jatuh ke riba. Tidak pernah terfikir dia akan beraksi di layar lebar secepat ini.

"Siapa tidak suka jadi pelakon filem tetapi jauh di sudut hati, terselit perasaan takut. Pasti ramai meletakkan harapan tinggi dan saya tidak boleh menghampakan mereka, lebih-lebih lagi peminat.

"Apapun, saya akan berusaha memberi persembahan terbaik. Peluang sebegini bukan datang selalu, apatah lagi untuk orang baru seperti saya.

"Sebelum ini saya belum pernah bekerja dengan Ahmad Idham tetapi dengan AidilFitri ini kali kedua selepas Rindu Awak 200%," katanya.

Kata Ayda, dia baru selesai penggambaran drama Suami Sebelah Rumah yang diangkat daripada novel.

Di bawah produksi JS Picture dan beraksi di samping pelakon terkenal, Izzue Islam buat kali pertama, banyak pengalaman baru diraih pelakon berjiwa periang ini.

"Berlakon dengan Izzue buka mata saya terhadap banyak perkara, terutama bagaimana mahu zahirkan babak romantik tanpa perlu bersentuhan.

"Kalau ikutkan, ia naskhah romantik dan ada banyak babak pegang tangan serta berpelukan, tetapi Izzue minta ubah.

"Betul juga kata dia, nak tunjuk rasa kasih tak semestinya perlu bersentuhan. Kita boleh sampaikan menerusi cara pandangan mata, melembutkan nada percakapan dan banyak lagi.

"Kita buat lain dari kebiasaan dan itu pengalaman menarik bagi saya. Seronok berlakon dengan Izzue, malah pengarahnya, Jinggo serta isteri, Shiela Rusly banyak membantu saya.

"Saya difahamkan, drama ini akan mengisi slot Dramaday TV3 pada Februari 2015," katanya yang memuji lakonan Izzue.

Ayda turut menjayakan drama dalam talian bagi mempromosi makanan kucing, Pro Diet. Drama 29 episod yang bakal disiarkan di YouTube itu sangat mencabar apabila perlu beraksi dengan kucing, sedangkan dia 'alah' kepada haiwan peliharaan itu.

Meskipun kencang dengan tawaran berlakon, Ayda tidak pernah melupakan hasratnya untuk mencipta nama sebagai penyanyi.

Peluang mencipta dan menyanyikan lagu untuk filem Harmonika satu permulaan baik buatnya.

"Saya bekerjasama dengan Cat Farish menghasilkan lagu runut bunyi ini. Insya-Allah saya akan merakam lagu ini dalam waktu terdekat.

"Seronok bukan kepalang bila terbabit dengan projek ini. Tak sangka ada yang nampak bakat saya. Insya-Allah, saya akan berganding dengan Cat sekali lagi untuk menghasilkan single selepas ini. Mudah-mudahan impian saya untuk bergelar penyanyi berjaya dimakbulkan Ilahi," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 21 Disember 2014 @ 5:01 AM