AJ Screamer miliki 31,000 ahli dalam tempoh setahun.
AJ Screamer miliki 31,000 ahli dalam tempoh setahun.
Syanty Octavia Amry


Kehadirannya dalam bidang seni bermula dengan menyertai program realiti nyanyian Akademi Fantasia (AF) musim ke-9 pada 2011.

Ketika itu, tiada siapa peduli dengan gadis kecil molek bernama Ayda Jebat ini.

Namun, selepas bergelar pelakon dan lakonannya dalam drama bersiri Rindu Awak 200% popular, nama Ayda kian menjadi bualan sehinggalah wujudnya kelab peminat diberi nama AJ Screamer.

Mula ditubuhkan sejak setahun lalu, asalnya kelab peminat ini bermula dengan Sasu Screamer iaitu kelab daripada kumpulan adik-beradik Ayda sendiri.

Disebabkan masing-masing membawa haluan sendiri dan Ayda memilih untuk aktif berlakon, segelintir peminat yang masih setia bersama Ayda menubuhkan kelab itu, namun belum secara rasmi.

Atas sambutan hangat terhadap dramanya bersama Zul Ariffin itu, beberapa hari sebelum tayangan drama itu berakhir peminat sepakat untuk menjadikan kelab AJ Screamer secara rasmi.

Apa yang menarik, walaupun baru setahun ditubuhkan, keahliannya kini mencecah 31,000 orang termasuk dari Singapura, Brunei dan Indonesia.

Semakin ligat mengadakan pelbagai aktiviti bersama peminat, Ayda kini berada di Singapura meraikan majlis berbuka puasa bersama lebih 60 peminatnya hari ini dan esok.

“Alhamdulillah sambutan begitu menggalakkan terhadap kelab ini. Saya juga tidak sangka ahli boleh menjangkau sehingga 31,000 dalam tempoh setahun.

“Mungkin juga kerana sokongan peminat terhadap drama Rindu Awak 200% yang menjadi fenomena dan secara tidak langsung menaikkan nama saya.

“Banyak aktiviti sedang dirancang. Disebabkan beberapa drama saya hangat ditayangkan di Singapura kami sepakat mengadakan sesi beramah mesra dengan peminat di sana.

“Jika ada peluang saya juga berharap dapat bertemu peminat di Brunei dan Indonesia,” katanya.

Sementara itu, wakil AJ Screamer Nurul Nadia Suraidi, 25, berkata, sokongan mereka begitu kuat terhadap Ayda sejak anak sulung daripada empat beradik itu terbabit dalam AF.

Selepas melihat drama lakonan Ayda mendapat sambutan hangat dan bilangan kelab peminat semakin bertambah mereka sama-sama menganjurkan pelbagai aktiviti untuk men­dekatkan lagi Ayda dan peminat.

“Kelab ini tidak ada presiden kerana bimbang akan berlaku masalah pula. Oleh itu, setiap keputusan yang dibuat terhadap kelab ini akan diputuskan pengurus Ayda, Mohd Afiq.

“Kebanyakan kertas kerja untuk aktiviti saya yang buat, jadi tanggungjawab saya besar juga. Pun begitu, setiap kami ada tugasan sendiri dan boleh dikatakan semua majlis kami uruskan sendiri.

“Setakat ini majlis paling besar pernah kami buat babitkan 200 peminat. Aktiviti karaoke yang diadakan baru-baru ini pula kami hanya dapat menjemput 100 peminat disebabkan tempat yang terhad.

“Kalau boleh setiap aktiviti yang kami anjurkan peminat dapat sertai namun untuk memastikan semua berpuas hati kami terpaksa melakukannya dalam jumlah yang terhad,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 4 Julai 2015 @ 5:03 AM