AYDA Jebat. FOTO Adi Safri
AYDA Jebat. FOTO Adi Safri
Najiy Jefri


Kuala Lumpur: Pelakon dan penyanyi popular Ayda Jebat berdepan detik mencemaskan apabila diragut ketika berada di sebuah kafe di Wangsa Melawati, di sini, malam tadi.

Dalam kejadian jam 12 malam itu, Ayda, 23, baru saja tiba di kafe berkenaan bersama seorang rakannya sebelum dua lelaki bertindak meragut beg tangannya.

“Ketika kejadian, saya baru duduk dan mahu memesan minuman. Selepas saya membuka beg dan mengambil telefon bimbit, tiba-tiba datang dua lelaki dari arah belakang dan terus meragut beg tangan saya,” katanya.

Ayda berkata, dia tergamam dengan kejadian itu, namun tidak mengalami sebarang kecederaan.

“Dalam beg itu mengandungi dokumen peribadi, kunci kereta, lesen memandu, kad bank, minyak wangi dan sejumlah wang tunai. Malangnya, tiada kamera litar tertutup di kawasan itu untuk mengenal pasti peragut itu.

“Rakan saya cuba mengejar peragut itu, tetapi gagal,” kata pelakon yang popular menerusi drama bersiri Rindu Awak 200% itu.

Ayda berkata, dia kemudian membuat laporan di Balai Polis Taman Melawati.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 27 Mei 2016 @ 4:23 PM