GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Mohd Fadly Samsudin

 

Kajang: Polis menembak mati seorang lelaki yang cuba menyerang tiga anggota polis menggunakan parang di Taman Muhibbah, Kajang, jam 2.15 petang tadi.

Ketua Polis Daerah Kajang Asisten Komisioner Othman Nanyan berkata, pada awalnya pihaknya menerima maklumat dua lelaki diserang suspek berusia 34 tahun itu sebelum polis bergegas ke lokasi kejadian.

Menurutnya, sebaik tiba saksi awam menyatakan suspek tinggal di sebuah rumah di Jalan Muhibbah, di sini.

"Pihak kami kemudian mengetuk pintu rumahnya dan memperkenalkan diri sebagai anggota polis.

"Bagaimanapun, suspek keluar lalu menyerang serta menumbuk salah seorang anggota polis di kepala," katanya.

Beliau berkata, lelaki itu kemudiannya masuk ke dalam rumah sebelum keluar dan cuba menyerang anggota polis dengan menggunakan parang.

"Polis meminta suspek menyerah diri namun dia enggan dan terus mengejar anggota dengan parang.

"Berikutan tindakannya yang semakin ganas, polis melepaskan tembakan ke udara namun dia masih belum menyerah diri," katanya.

Othman berkata, berikutan itu polis terpaksa melepaskan tembakan ke arah lelaki itu bagi mempertahankan nyawa yang terancam.

"Lelaki itu rebah sebelum dikejarkan ke Hospital Kajang bagi mendapatkan rawatan namun disahkan meninggal dunia pada 6.55 petang.

"Semakan mendapati lelaki ini mempunyai lima rekod jenayah lampau. Kes disiasat mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan dan 307 Kanun Keseksaan," katanya.

 

ends

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 29 Oktober 2016 @ 12:47 AM