ANGGOTA polis mengangkat mayat lelaki yang mengamuk dan menetak dua pekerja kilang di Bayan Lepas, hari ini. FOTO Danial Saad.
ANGGOTA polis mengangkat mayat lelaki yang mengamuk dan menetak dua pekerja kilang di Bayan Lepas, hari ini. FOTO Danial Saad.
Hadzlihady Hassan


LELAKI yang maut ditembak polis sempat melaungkan Allahuakhbar sebelum mengamuk dan menetak dua pekerja di sebuah kilang di Bayan Lepas, hari ini.

Dalam kejadian 5.45 petang itu, suspek berusia 25 tahun itu dikatakan naik angin dan membawa masuk parang ke dalam kilang sebelum menetak dua pekerja terbabit iaitu seorang lelaki dan seorang wanita.

Akibatnya, mangsa wanita itu meninggal dunia ketika mendapatkan rawatan di Hospital Pulau Pinang (HPP) manakala mangsa lelaki pula kritikal.

Sumber berkata, sejurus menetak mangsa, suspek cuba melarikan diri dan sepasukan polis yang menerima maklumat berhubung kejadian terbabit bergegas ke lokasi kejadian.

“Anggota polis cuba menenangkan suspek dan meminta dia menyerah diri, namun lelaki berkenaan tetap berdegil dan cuba menyerang dengan dua parang.

“Tindakannya itu menyebabkan polis terpaksa melepaskan tembakan hingga suspek meninggal dunia di lokasi kejadian,” katanya.

Sumber itu berkata, siasatan awal mendapati suspek masih bekerja sebagai penolong kualiti di kilang terbabit dan dia mungkin mengalami tekanan perasaan hingga menyebabkan bertindak demikian.

“Siasatan menyeluruh sedang dilakukan dan polis akan mengambil keterangan daripada pekerja dan saudara terdekat suspek.

“Orang ramai diminta supaya tidak membuat sebarang spekulasi berhubung kejadian ini sehingga siasatan polis dijalankan sepenuhnya,” katanya.

Menurutnya, sebelum mengamuk dan menetak mangsa beberapa pekerja sempat mendengar suspek melaungkan Allahuakhbar.

“Sehingga kini, polis masih menjalankan siasatan di lokasi kejadian,” katanya.

Berita berkaitan

'Amukan berdarah dalam kilang'

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 23 September 2019 @ 9:26 PM