SUSPEK meninggal dunia di lokasi kejadian. FOTO ihsan pembaca
SUSPEK meninggal dunia di lokasi kejadian. FOTO ihsan pembaca
Zuliaty Zulkiffli


Kulim: Seorang lelaki disyaki penagih dadah ditembak mati selepas cuba menyerang anggota polis menggunakan parang di Kampung Ulu Mahang, Karangan, di sini, hari ini.

Timbalan Ketua Polis Kedah, Datuk Mohd Roze Shaari berkata, dalam kejadian jam 11 pagi tadi, lelaki berusia 44 tahun itu pada mulanya menyerang lelaki warga emas menyebabkan mangsa cedera di jari tangan.

Beliau berkata, sebelum kejadian, warga emas itu dikatakan menegur lelaki berkenaan yang dilihat berada di hadapan rumahnya menyebabkan suspek mengamuk.

"Polis menerima panggilan daripada orang awam berhubung kejadian amuk lelaki itu dan dua anggota dihantar ke lokasi untuk melihat apa yang berlaku.

"Sebaik tiba, anggota polis meminta lelaki itu menyerah diri, namun suspek melarikan diri menghala ke bangsal yang terletak berhampiran tempat kejadian," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kulim, hari ini.

Mohd Roze berkata, anggota polis berusaha memujuk dan menenangkan lelaki itu serta meminta dia keluar dari bangsal namun suspek bertindak menyerang anggota menggunakan parang.

Katanya, berikutan itu seorang anggota terpaksa melepaskan tembakan ke arah suspek selepas mendapati jarak lelaki itu dan anggota polis yang cuba memujuknya hanya tiga meter.

"Selepas ditembak suspek rebah, namun dia tidak meninggal dunia serta-merta dan sempat merangkak ke arah anggota polis sebelum jatuh semula.

"Hasil siasatan mendapati suspek dipercayai penagih dadah dan hasil pemeriksaan di dalam bangsal menemui peralatan menghisap dadah dan dadah yang akan dianalisa," katanya.

Mohd Roze berkata, tembakan yang dilepaskan anggota berkenaan adalah atas dasar untuk menyelamatkan orang awam iaitu mangsa pertama yang diserang dan anggota polis yang bertugas.

"Kita merampas parang, baju dan kain yang digunakan untuk membalut parang serta dua kelongsong peluru di lokasi kejadian.

"Semakan rekod mendapati suspek yang berasal dari Serdang, Bandar Baharu, mempunyai dua rekod jenayah yang mana salah satunya berkaitan kes narkotik," katanya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 27 Mei 2021 @ 8:02 PM