POLIS terpaksa melepaskan dua das tembakan selepas suspek menyerang menyerang mereka. FOTO ihsan Polis
POLIS terpaksa melepaskan dua das tembakan selepas suspek menyerang menyerang mereka. FOTO ihsan Polis
Zuhainy Zulkiffli


Bayan Lepas: Lelaki yang mempunyai 22 rekod jenayah lampau ditembak mati dalam kawasan hutan di Jalan Air Terjun, Kampung Bukit di sini, 3.30 pagi, hari ini.

Polis terpaksa melepaskan dua das tembakan selepas suspek menyerang anggota daripada Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Barat Daya menggunakan parang.

Akibat tembakan itu, suspek berusia 34 tahun yang tidak bekerja rebah dan meninggal dunia 30 meter dari pondok yang juga tempat tinggalnya.

Ketua Polis Daerah Barat Daya, Superintendan Kamarul Rizal Jenal berkata, suspek menyerang sebaik menyedari kehadiran polis dan ia berterusan walaupun pihaknya sudah memperkenalkan diri, hingga menyebabkan kecederaan pada lengan kanan seorang anggota.

"Anggota terpaksa melepaskan dua das tembakan bagi mempertahankan diri dan ia mengena badan suspek.

"Ambulans segera dihubungi untuk bantuan awal, namun pegawai kesihatan yang membuat pemeriksaan mengesahkan suspek meninggal dunia," katanya di sini, hari ini.

Turut dirampas ialah sebilah parang dan pemutar skru dalam milikan suspek serta peralatan menghisap dadah yang ditemui di dalam pondok didiaminya.

Kamarul Rizal berkata, suspek sudah diburu sejak sebulan lalu berhubung pelbagai kes jenayah termasuk pecah rumah, curi dan narkotik di sekitar daerah ini.

"Semakan mendapati dia mempunyai 22 rekod lampau dan merupakan individu dikehendaki polis. Difahamkan, suspek tinggal di kawasan hutan itu bagi mengelak pihak berkuasa," katanya.

Menurutnya, kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan dan mayat suspek dihantar ke Hospital Pulau Pinang untuk dibedah siasat.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 27 Jun 2021 @ 10:32 AM