Ibrahim Isa


Kota Tinggi: Dua penjenayah paling dikehendaki ditembak mati dalam kejadian di ladang kelapa sawit, dekat Felcra Sungai Ara, di sini, awal pagi ini.

Timbalan Ketua Polis Johor, Datuk Zakaria Ahmad, berkata insiden bermula apabila polis yang melakukan rondaan cegah jenayah ternampak dua lelaki menunggang motosikal tanpa topi keledar.

Katanya, anggota kemudian meminta mereka berhenti untuk tujuan pemeriksaan.

"Bagaimanapun, penunggang Honda Wave itu masuk ke dalam lorong menuju ke satu ladang kelapa sawit.

"Melihat keadaan itu, anggota polis berkenaan mengejar suspek dan sebaik tiba mendapati kedua-dua suspek terjatuh.

"Anggota meminta suspek menyerah diri sebelum seorang daripada mereka melepaskan tembakan," katanya ketika ditemui di tempat kejadian.

Menurutnya, bimbangkan keselamatan diri anggota terbabit melepaskan beberapa das tembakan menyebabkan suspek pertama maut serta merta.

Katanya, seorang lagi suspek yang berada di kawasan berhampiran diminta menyerah diri namun meluru ke arah anggota sambil menghayun parang.

"Melihat keadaan genting, anggota terbabit tiada pilihan kecuali melepaskan tembakan.

"Kedua-dua suspek warga Indonesia berusia antara 20-an hingga 30-an itu maut di tempat kejadian," katanya.

Menurutnya, kes disiasat mengikut Seksyen 3 Akta Senjata Apa (penalti lebih berat) dan Seksyen 307 Kanun Keseksaan.

"Pemeriksaan mendapati kedua-dua suspek terbabit dalan lima kes samun termasuk mengakibatkan dua kematian.

“Kami turut menemui beberapa alat dipercayai untuk digunakan untuk memecah rumah seperti pemotong besi dan besi penyungkil.

“Honda Wave yang digunakan itu dilaporkan hilang dalam satu kes samun di Mersing, September lalu," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 27 January 2017 @ 8:11 AM
ANGGOTA Forensik memerika dua mayat penjenayah yang ditembak mati di ladang kelapa sawit berhampiran Felcra Sungai Ara, Kota Tinggi. FOTO Mohd Azren Jamaludin
ANGGOTA Forensik memerika dua mayat penjenayah yang ditembak mati di ladang kelapa sawit berhampiran Felcra Sungai Ara, Kota Tinggi. FOTO Mohd Azren Jamaludin