Keadaan bas ekspres yang terbabit kemalangan. FOTO ihsan bomba
Keadaan bas ekspres yang terbabit kemalangan. FOTO ihsan bomba
Mohamad Azim Fitri Abd Aziz

Kuantan: Seramai 36 penumpang bas ekspres cemas apabila bas dinaiki mereka hilang kawalan sebelum merempuh pembahagi jalan di Jalan Kuantan-Pekan arah Kuantan, di sini, kira-kira 5 pagi tadi.

Bagaimanapun kejadian itu tidak membabitkan kemalangan jiwa dan hanya tiga penumpang mengalami cedera ringan.

Jurucakap Balai Bomba dan Penyelamat Pahang ketika dihubungi berkata, jentera bomba pertama tiba jam 5.15 pagi untuk melakukan kerja mengeluarkan mangsa yang terperangkap di dalam bas.

"Siasatan awal mendapati bas yang dipandu terbabas sebelum melanggar pembahagi jalan," katanya.

Menurutnya, siasatan lanjut diserahkan kepada polis bagi mengetahui punca sebenar kemalangan dan mangsa yang cedera dirawat di Hospital Tengku Ampuan Afzan, di sini.

Jurucakap itu memberitahu, kerja mengeluarkan penumpang selesai pada 5.53 pagi.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 28 Oktober 2016 @ 4:26 PM