Sanjeevan (kiri) bersama peguamnya,S Preakas (kanan) hadir ke Mahkamah Sesyen Petaling Jaya atas tuduhan menghantar komen jelik terhadap Ketua Polis Negara, September lalu. FOTO Asyraf Hamzah
Sanjeevan (kiri) bersama peguamnya,S Preakas (kanan) hadir ke Mahkamah Sesyen Petaling Jaya atas tuduhan menghantar komen jelik terhadap Ketua Polis Negara, September lalu. FOTO Asyraf Hamzah
Sarah Zulkifli


Petaling Jaya: Pengerusi Pasukan Bertindak Pemantau Jenayah Malaysia (MyWatch) Datuk R Sri Sanjeevan mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini, atas tuduhan menghina Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar menerusi Facebook miliknya, bulan lalu.

Sanjeevan, 32, membuat pengakuan itu sebaik pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Hakim Azhaniz Teh Azman Teh.

Mengikut pertuduhan, ahli perniagaan itu didakwa melalui Facebook di pautan https://www.facebook.com/MalaysianCrimeWatchMyWatch secara sedar membuat dan memulakan penghantaran komen yang jelik dengan niat untuk menyakitkan hati orang lain yang dibaca pada jam 11.30 pagi pada 5 September lalu di alamat kiosk kawasan USJ1 Subang Jaya.

Dakwaan kes dilakukan mengikut Seksyen 233 (1) (a) Akta Komunikasi Dan Multimedia 1998 (Akta 588) dan boleh dihukum mengikut Seksyen 233 (3) akta sama memperuntukkan hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara maksimum setahun dan boleh didenda selanjutnya RM1,000, bagi setiap hari kesalahan itu diteruskan selepas disabitkan.

Ini adalah kali keenam Sanjeevan didakwa di beberapa mahkamah, termasuk di Seremban, Temerloh dan Kuala Lumpur membabitkan kes peras ugut dan menipu sijil ijazah.

Mahkamah membenarkan Sanjeevan diikat jamin RM3,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 28 November sebagai sebutan semula kes.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 27 Oktober 2016 @ 1:45 PM