PENJAGAAN guna bahan semula jadi juga berkesan untuk diamalkan.
PENJAGAAN guna bahan semula jadi juga berkesan untuk diamalkan.

Kesibukan wanita menguruskan anak dan keluarga, sering menyebabkan diri mereka sendiri terabai termasuk kecantikan kulit hingga ada yang mengalami penuaan pramatang.

Sikap wanita yang kebiasaannya mudah berkorban untuk orang lain, ada kalanya memberi kesan pada penampilan.

Kecantikan diri bukan sekadar memberi kesan pada segi fizikal, tetapi apabila melihat diri sendiri di cermin, ia boleh meninggalkan impak dari segi emosi.

Keadaan diri yang tidak terurus dan kelihatan tua daripada usia sebenar mungkin boleh menyebabkan tekanan, merosakkan keyakinan dan seterusnya menjejaskan keceriaan dalam kehidupan seharian.

Menjaga kecantikan diri tidak seharusnya membebankan dan tidak memerlukan bahan kosmetik yang menelan belanja besar.

Pelbagai bahan semula jadi di persekitaran kita mampu memberi kesan yang sama atau lebih baik daripada bahan kosmetik

di rak kedai. Lebih menarik, bahan semula jadi tidak mempunyai tambahan bahan kimia dan boleh digunakan secara selamat oleh sesiapa saja termasuk mereka yang berada dalam kategori kulit sensitif.

Sekiranya kulit dibiarkan tanpa sebarang perhatian, pelbagai masalah kulit akan timbul antaranya kulit kusam, bintik hitam, kulit menjadi gelap, berjerawat,

terjejas akibat selaran matahari dan kemerah-merahan.

Antara penyumbang utama kepada masalah kulit termasuklah kurang minum air, tidak mendapat rehat yang cukup, pemakanan tidak seimbang, terdedah kepada pancaran UV, tidak bersenam menyebabkan peredaran darah tidak lancar dan tidak membersihkan kulit dengan betul.

Dalam usaha mendapat kulit yang bebas sebarang noda tanpa bergantung kepada produk yang mahal, penjagaan murah menggunakan bahan semula jadi juga berkesan untuk diamalkan.

Berikut tujuh tip dan bahan yang boleh digunakan untuk mendapat kulit yang sihat dan cantik.

Kulit lembut

Kulit selembut bayi sering menjadi idaman wanita. Biarpun begitu, bukan mudah untuk memilikinya apatah lagi sekiranya kita sering terdedah dengan pencemaran udara, udara kering akibat penggunaan pendingin hawa dan sinaran matahari secara berterusan.

Jus timun yang dicampur dengan sedikit susu segar boleh disapu pada seluruh kulit wajah dan dibiarkan sehingga kering sebelum dicuci dengan air. Eloklah diamalkan selalu untuk melihat kesannya.

Mengelak selaran matahari

Berada di luar tanpa menggunakan pelindung matahari menyebabkan kulit mengalami kerengsaan, kemerah-merahan dan kasar.

Bagi merawat kulit yang terdedah pada kesan matahari, ambil dua sudu besar tepung kacang dal dan campur satu sudu teh krim segar.

Campurkan juga secubit serbuk kunyit dan satu sudu teh serbuk cendana sebelum dititis sedikit dengan jus lemon.

Sapukan campuran itu ke kawasan wajah yang mengalami selaran matahari dan biarkan ia sekurang-kurangnya 20 minit sebelum dicuci dengan air suam.

Selain itu, cara lain yang boleh dicuba adalah campurkan dua sudu besar yogurt dan beberapa titisan lemon sebelum disapu pada wajah dan biarkan kira-kira 15 minit sebelum dicuci. Lakukan tiga hari berturut-turut bagi mengembalikan warna asal kulit.

Melembapkan kulit kering

Kulit yang kering membuatkan wajah kelihatan lebih tua daripada usia sebenar dan tentu sekali, kurang menarik.

Pengambilan lemak baik dalam makanan boleh membantu memberikan kulit lebih lembap manakala pemakaian bahan pelembap pada kulit juga amat penting.

Antara cara yang boleh digunakan adalah mencampurkan satu sudu besar krim segar, sedikit serbuk kunyit, jus lemon, air mawar dan beberapa titis minyak badam.

Campurkan sehingga sebati dan sapukan pada wajah, leher dan lengan yang sudah dibersihkan.

Biarkan selama 20 minit sebelum dicuci bersih dan lap sehingga kering untuk melihat kesannya.

Melakukan pengelupasan

Pengelupasan kulit amat penting untuk membantu mendapatkan kulit yang lebih lembut dan bersih.

Ia penting kerana dapat menyingkirkan sel kulit mati yang boleh menyebabkan wajah nampak kusam selain memudahkan jerawat dan bintik hitam timbul.

Proses ini juga amat penting kerana ia mampu membantu kulit bernafas lebih baik apabila liang roma dibersihkan, selain membuatkan wajah kelihatan lebih muda.

Campurkan serbuk oat bersama-sama satu sudu besar susu skim. Selepas sebati, sapukan pada wajah dan gosok secara membulat sebelum dicuci. Tidak perlu disusuli dengan sabun.

Rawat jerawat

Jerawat yang timbul membuatkan hati tidak keruan kerana ia menjejaskan penampilan dan membuatkan wajah kelihatan kurang cantik.

Cara mudah merawat jerawat adalah melalui penggunaan buah tomato yang hanya perlu dipotong dan diletakkan hirisannya pada jerawat kira-kira 15 minit.

Anda juga boleh menggunakan jus lemon kerana ia mampu mengawal lebihan pengeluaran minyak pada wajah.

Cerahkan wajah

Siapa yang tidak suka apabila kulit muka mereka menjadi lebih cerah dan bersih. Antara bahan semula jadi yang boleh digunakan ialah strawberi.

Hancurkan beberapa biji dan sapukan pada wajah, biarkan selama lima minit sebelum dicuci. Kulit akan kelihatan lebih ceria serta-merta.

Segarkan warna kulit

Liang roma pada kulit menjadi besar disebabkan suhu yang panas, selain usia yang semakin meningkat.

Oleh itu, penggunaan penyegar akan dapat meĀ­nutup liang roma dan membuatkan kulit wajah kelihatan lebih mulus.

Cara semula jadi untuk menghasilkan penyegar adalah dengan merendam beras selama tiga jam dalam air bersih, kemudian air berkenaan dimasukkan ke dalam bekas untuk digunakan setiap hari.

Setiap kali selesai membersihkan wajah, sapukan penyegar semula jadi itu pada kulit.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 4 Ogos 2016 @ 5:21 AM