Sarah Zulkifli


Kuala Lumpur: Tiga pengarah syarikat pembekal bahan makanan, Three-A Resources Berhad masing-masing mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini, atas 11 tuduhan memperoleh 891,000 unit saham syarikat itu ketika mempunyai maklumat sulit, tujuh tahun lalu.

Ketiga-tiga tertuduh, Fang Chiew Hean, 80, yang juga bapa saudara kepada seorang lagi tertuduh wanita, Fang Siew Yee, 36, serta bapanya Fang Chiew Ham, 69, membuat pengakuan itu sebaik pertuduhan dibacakan terhadap mereka di hadapan Hakim Mat Ghani Abdullah.

Mengikut pertuduhan, Chiew Hean didakwa memperoleh sembilan unit saham berjumlah 891,000 iaitu unit saham Three-A Resources Berhad melalui akaun milik dua individu ketika mempunyai maklumat sulit yang boleh memberi kesan material ke atas harga nilai saham iaitu membabitkan cadangan usahasama penggabungan antara Three-A dan Wilmar International Limited.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di Bursa Malaysia Securities Berhad, Exchange Square, Bukit Kewangan, di sini, antara September hingga Oktober 2009.

Dia didakwa mengikut Seksyen 188(2) Akta Pasaran Modal dan Perkhidmatan 2007 (Akta 671) yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun dan denda tidak kurang RM1 juta jika sabit kesalahan.

Mahkamah kemudian membenarkan Chiew Hean diikat jamin RM250,000 dengan seorang penjamin manakala dua lagi masing-masing dengan RM200,000 serta menetapkan 10 November ini sebagai sebutan semula kes.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 25 Oktober 2016 @ 5:43 PM