Mahmud Abbas
Mahmud Abbas

Kuala Lumpur: Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) melancarkan 90 unit rumah teres dua tingkat Ixora di Antara Gapi, Serendah dekat Selangor dengan nilai pembangunan kasar berjumlah RM57 juta.

Ketua Pegawai Eksekutif PKNS Datuk Mahmud Abbas berkata, projek unit perumahan terhad di kawasan seluas 3.65 hektar itu dijangka siap pada 2026.

Beliau berkata projek itu mempunyai tiga varian saiz keluasan lantai iaitu dari 0.016 hektar hingga 0.017 hektar dengan harga jualan bermula RM588,000 sehingga RM891,000.

"Rumah ini dibina bercirikan reka bentuk moden kontemporari berlatarkan kehijauan landskap dan jauh dari hiruk-pikuk kota raya. Ixora juga dilengkapi empat bilik tidur serta tiga bilik air selain mempunyai tempat letak kereta yang lebar dan luas serta kemudahan rekreasi menarik," katanya selepas melawat rumah contoh.

Mahmud berkata, Ixora merupakan lokasi strategik kerana ia mudah diakses melalui beberapa lebuh raya utama seperti Lebuhraya Rawang Bypass dan Lebuhraya Kuala Lumpur - Kuala Selangor (Latar) dan Jalan Persekutuan Rawang - Tanjung Malim selain jarak perjalanannya ke ibu kota hanya 36 kilometer.

"Projek ini terletak berhampiran dengan pelbagai kemudahan seperti Sekolah Kebangsaan (SK) Antara Gapi, Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Kuala Kubu Baru, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) Gombak, kawasan komersial, kedai serbaneka serta pasar raya besar," katanya.

Beliau memaklumkan setakat ini 300 peratus (400 orang) telah mendaftar untuk memiliki unit terhad itu.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 19 Februari 2024 @ 6:01 AM