MOHD Nasri (kiri) melihat cermin yang dipecahkan oleh perompak. FOTO L Manimaran
MOHD Nasri (kiri) melihat cermin yang dipecahkan oleh perompak. FOTO L Manimaran
Mohd Hafizee Mohd Arop


Batu Gajah: Empat lelaki bertopi keledar penutup muka penuh serta bersenjatakan penukul menyamun kedai emas dan membawa lari barang kemas berjumlah RM60,000 di Jalan Batu Gajah, di sini, 11.55 pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Batu Gajah, Asisten Komisioner Mohd Nasri Omar berkata, keempat-empat suspek menaiki dua motosikal itu dipercayai mengambil masa tidak sampai dua minit untuk membawa lari tiga daripada 26 dulang di kedai berkenaan.

Katanya, selepas membawa lari barang kemas berkenaan, suspek kemudiannya melarikan diri menaiki dua motosikal ke arah Ipoh.

"Ketika kejadian, hanya pemilik yang berada di dalam kedai dan tidak diapa-apakan dua suspek yang masuk ke dalam kedai berkenaan. Suspek hanya memecahkan cermin simpanan emas dan membawa lari emas dari tempat penyimpanan.

"Siasatan lanjut masih dijalankan mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan kerana menyamun," katanya ketika ditemui di lokasi kejadian, hari ini.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 25 Oktober 2016 @ 3:28 PM