Mohd Hafizee Mohd Arop


DUA kenderaan membawa emas bernilai RM1 juta disamun penjenayah selepas melanggar kenderaan itu menggunakan lori di Jalan Chin Hwa, Ipoh hari ini.

Dalam kejadian 6.30 pagi itu, dua kenderaan iaitu Mitsubishi Pajero Sport dan Toyota Fortuner itu melalui kawasan berkenaan selepas mengambil barang kemas dari rumah majikannya untuk dihantar ke Kelantan.

Difahamkan, kedua-dua kenderaan dipandu masing-masing lelaki berusia 30-an itu kemudiannya dirempuh lori berkenaan sebelum dua suspek bersenjatakan parang turun dari lori dan menyamun barang kemas terbabit.

Pemangku Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Perak, Asisten Komisioner Anuar Othman berkata, siasatan awal polis mendapati kedua-dua suspek itu menggunakan lori yang dilaporkan dicuri awal pagi hari ini di Klang, Selangor.

Katanya, kedua-dua suspek bagaimanapun tidak mengapa-apakan mangsa dan hanya bertindak membawa lari semua barang kemas itu menggunakan sebuah kenderaan lain dalam tempoh masa tidak sampai lima minit.

Keadaan dua kenderaan dan lori dalam kejadian samun barang kemas di Ipoh hari ini. FOTO Abdullah Yusof
Keadaan dua kenderaan dan lori dalam kejadian samun barang kemas di Ipoh hari ini. FOTO Abdullah Yusof

“Kedua-dua suspek berjaya membawa lari empat beg barang kemas dianggarkan bernilai RM1 juta yang dibawa mangsa dihantar ke Kelantan dan seorang mangsa mengalami kecederaan akibat terkena kaca.

“Selain dua suspek yang menaiki lori berkenaan, kita percaya ada dua lagi suspek lain yang menaiki sebuah lagi kenderaan untuk melarikan diri dan polis sedang menjalankan siasatan untuk mengenalpasti jenis kenderaan itu.

“Polis percaya kejadian samun ini sudah dirancang dan kita akan menyiasat dari setiap aspek serta sedang meneliti jika ada CCTV (kamera litar tertutup) di sepanjang laluan ini,” katanya ditemui di lokasi kejadian.

Anuar berkata, siasatan awal polis mendapati barang kemas itu dihantar ke Kelantan untuk dijual manakala seorang mangsa yang cedera menerima rawatan di Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB).

Katanya, polis sedang menggiatkan usaha mengesan semua suspek dan kes disiasat mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 5 Ogos 2019 @ 12:08 PM