ZUKRI (tengah), Surachet (kiri) dan Azizulazni bergambar bersama hadiah masing-masing.
ZUKRI (tengah), Surachet (kiri) dan Azizulazni bergambar bersama hadiah masing-masing.
Rosli Ilham


Kerteh: Pelumba Team Thailand All Star, Suratchet Sing Jui mengakui kehilangan banyak tenaga menyebabkannya gagal mempertahankan kejuaran kategori Junior Master dalam saingan siri kedua Harian Metro Mountain Bike Grand Prix (HMMTB) 2017 di Kerteh.

Surachet yang muncul juara kategori terbabit dalam siri pertama di Bukit Merah, Perak sebelum ini mencatat masa satu jam 25 minit 17 saat tumpas kepada pelumba Polygon Malaysia, Zukri Tahir yang mencatat masa satu jam 23 minit 46 saat manakala tempat ketiga diraih pelumba Natura Team Azizulazri Shaari yang mencatat (1:26.11s).

Menurutnya, dia menyedari mula kehilangan tenaga kira-kira 10 minit terakhir perlumbaan sekali gus menyebabkannya gagal menyaingi Zukri yang ketika itu berada di depan manakala Azizulazri mengekorinya rapat.

“Saya akui latihan dalam mencari stamina yang melampau sebelum ini menyebabkan berasa sangat letih sekali gus tidak mampu memberi saingan hingga ke garisan penamat.

“Saya berasa sangat kecewa dengan prestasi kali ini tetapi bersyukur juga kerana masih lagi mampu menamatkan perlumbaan di dapan Azizulazri,” katanya.

Surachet berkata, dia tidak akan patah semangat kerana mempunyai misi untuk merampas kembali kedudukan pertama pada siri terakhir nanti.

“Cabaran selepas ini pada siri terakhir di Sungai Buaya, Selangor yang semestinya menjanjikan saingat sengit terutamanya daripada Zukri dan Azizulazri.

“Saya akan berehat seketika dan akan kembali menyambung latihan di Thailand sebagai persiapan untuk sekali lagi naik ke podium sebagai juara.

“Kejayaan di Bukit Merah menjadi pembakar semangat dan siri terakhir nanti saya harus bangkit dengan latihan yang lebih,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 10 Oktober 2017 @ 9:44 AM