PESERTA dilepaskan Pengarang Kumpulan Harian Metro Datuk Mustapa Omar (kanan, berdiri).
PESERTA dilepaskan Pengarang Kumpulan Harian Metro Datuk Mustapa Omar (kanan, berdiri).
Raja Noraina Raja RahimMohd Amin Jalil dan Mohd Khidir Zakaria dan Khairul Najib Asarullah Khan


Port Dickson: “Penganjuran HMMTB (Harian Metro Mountain Bike) Grand Prix Sirkit 2 ini amat membanggakan.

“Kami sangat berterima kasih kepada Harian Metro kerana memberikan kepercayaan untuk menjadi tuan rumah,” kata Pengarah Kolej Vokasional Port Dickson (KVPD) Abdul Razak Ismail.

Razak berkata, pihaknya berbangga kerana kejohanan ini berjaya mempromosikan KVPD kepada pihak luar terutama bakal pelajar yang berminat untuk meneruskan pembelajaran di situ.

“Saya berharap pihak penganjur dapat menjadikan KVPD sebagai venue tetap setiap kali kejohanan diadakan di Port Dickson. Malah, saya gembira dengan kerjasama pelbagai agensi seperti polis, APM (Angkatan Pertahanan Awam Malaysia), Jabatan Bomba dan Penyelamat serta RELA.

“Seperkara lagi, saya berharap pihak Harian Metro juga berpuas hati dengan kemudahan di sini sepanjang kejohanan berlangsung.

“Saya melihat, ramai pengunjung luar datang ke sini selain penduduk tempatan bagi menyaksikan perlumbaan yang boleh diiktiraf sebagai kejohanan MTB peringkat antarabangsa.

“Mungkin ini batu loncatan untuk KVPD melahirkan lebih ramai pelumba pada masa akan datang,” katanya.

Razak berkata, beliau juga berpuas hati dengan prestasi pasukan KVPD yang turut berada dalam kelompok 10 terbaik kategori Lelaki Terbuka.

“Saya sendiri tidak sangka KVPD yang diwakili warga pendidik berjaya memberikan saingan sehingga seorang peserta berada dalam kedudukan kelapan kategori ini.

“Mungkin selepas ini kami akan lebih menumpukan acara lumba basikal lasak ini.

“Apapun, saya mewakili seluruh warga KVPD berharap Harian Metro akan terus memberikan peluang kepada kami untuk menjadi tuan rumah pada pertandingan akan datang,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 27 Oktober 2016 @ 9:07 AM