AFP

Manchester: Pengurus Manchester City, Pep Guardiola (gambar) berharap dapat terus kekal bersama kelab Liga Perdana itu sekali gus berusaha membina pasukan yang mampu mencipta kejayaan jangka panjang.

City berbelanja besar dengan mengeluarkan dana lebih AS$261.48 juta (RM1.11 bilion) untuk membeli pemain selepas Guardiola gagal memenangi piala buat kali pertama sepanjang kariernya selaku jurulatih.

“Saya akan cuba untuk kekal selama mungkin bagi membantu City mencipta kejayaan,” kata Guardiola yang sudah memasuki tahun keduanya di England.

“Saya rasa sudah tiba masanya kelab ini mendengar kata jurulatih. Tidak siapa tahu apa yang akan berlaku nanti. Bagi semua jurulatih di dunia ini, keputusan yang mereka capai menceritakan kejayaan mereka atau sebaliknya.”

Guardiola berusaha untuk menurunkan purata usia pemain City dengan membenarkan Pablo Zabaleta, Gael Clichy, Bacary Sagna dan Aleksandar Kolarov berpindah ke kelab lain hujung musim lalu.

Beliau turut membawa masuk ramai pemain muda ke dalam pasukan terutama penjaga gol, Ederson, pemain tengah, Bernardo Silva dan pertahanan, Benjamin Mendy.

“Pemain muda di bawa masuk dan kami tahu tenaga yang mereka miliki. Kami kini memiliki peluang baik untuk bersaing merebut gelaran,” kata Guardiola. “Purata umur pemain kami adalah sangat muda dan untuk tempoh lima atau enam tahun lagi, mereka mungkin masih boleh terus bermain.”

Guardiola turut mengesahkan Mendy akan diletakkan sebagai pemain simpanan bagi membolehkannya merawat kecederaan paha yang dialami sekali gus menyaksikan pemain Perancis itu tidak diturunkan pada perlawanan menentang Brighton and Hove Albion pada 12 Ogos nanti.

“Dia mengalami kecederaan dan tidak boleh bermain untuk tempoh dua atau tiga minggu,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 29 Julai 2017 @ 4:39 AM