PEMAIN Malaysia, Haziq Samsul (dua dari  kanan) menjaringkan gol pertama ketika menentang China.
PEMAIN Malaysia, Haziq Samsul (dua dari kanan) menjaringkan gol pertama ketika menentang China.
Mohamad Azim Fitri Abd Aziz


Kuantan: Skuad hoki kebangsaan menepati ramalan selaku pasukan pilihan apabila mudah membelasah China 5-1 dalam aksi kedua Kejohanan Hoki Trofi Juara-Juara Asia 2016 di Stadium Hoki Indera Mahkota, malam tadi.

Pasukan negara yang masih segar dengan kejayaan ke atas juara bertahan Pakistan pada perlawanan pembukaan kelmarin, membuka tirai jaringan menerusi Haziq Samsul pada minit ke-6 selepas berlaku keadaan kelam kabut di depan pintu gol China sebaik pukulan sudut penalti diambil pemain negara.

Benteng pertahanan Malaysia ternyata sukar ditandingi apabila serangan bertali arus China berjaya dipatahkan dengan mudah.

Skuad negara yang kembali diperkuatkan dengan kehadiran penyerang berbisa Faizal Saari tidak menunggu lama apabila menggandakan jaringan pada minit ke-20 menerusi pukulan sudut penalti yang disempurnakan sekali lagi oleh Haziq.

Diletakkan selaku pilihan keempat kejohanan, tuan rumah mula mempamer permainan sebenar apabila menghukum kealpaan benteng pertahanan China melalui gol padang yang disumbangkan Fitri Saari pada minit ke-22.

Bersambung babak kedua, China yang dibimbing Song Yi kembali memperkemaskan permainan dan hasilnya, mereka berjaya merapatkan kedudukan pada minit ke-33 menerusi Wang Bowen yang mengambil kesempatan atas keadaan kelam kabut benteng pertahanan negara.

Menyedari mereka tidak harus mengecewakan penyokong sendiri, skuad bimbingan Stephen Van Huizen kembali mengatur strategi dan berjaya menambah jaringan menerusi pemain tengah Shahril Saabah yang menyempurnakan pukulan sudut penalti pada minit ke-36.

Serangan demi serangan dilakukan pemain negara menerusi gandingan Shahril dan Faizal bagaimanapun berjaya disekat hasil ketangkasan penjaga gawang China Hong Doopyo.

Malaysia yang menghuni tangga ke-14 dunia ternyata berada di kelas tersendiri apabila sekali lagi meledak jaringan menerusi pukulan sudut penalti diambil Firhan Ashari pada minit ke-54.

Menuju beberapa minit sebelum tamat perlawanan kedua pasukan saling bertukar serangan namun buntu menghasilkan gol hingga wisel penamat dibunyikan.

Dengan kemenangan itu, pasukan negara kini mengumpul enam mata dan bakal menentang Jepun esok yang pastinya bakal bermati-matian selepas dibelasah India 10-2 pada perlawanan pertama kelmarin.

Terdahulu, Pakistan menewaskan Korea Selatan 1-0 hasil jaringan lewat permainan oleh Abdul Khan.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 22 Oktober 2016 @ 5:26 AM