BERNAMA

Putrajaya: Dua pegawai imigresen diperintah Mahkamah Rayuan di sini, hari ini, untuk membela diri bagi tuduhan membunuh seorang tahanan Bangladesh pada 2014.

Mohd Aminnudin Mohd Yasin dan Zuhairul Effendy Zualkafli, kedua-duanya 34 tahun, mulanya dibebaskan Mahkamah Tinggi Kangar pada 1 Oktober tahun lalu, tanpa dipanggil membela diri terhadap tuduhan membunuh Abu Bakar Siddique, 45,

Panel tiga anggota Mahkamah Rayuan diketuai Hakim Datuk Tengku Maimun Tuan Mat membenarkan rayuan pihak pendakwaan untuk mengetepikan keputusan membebaskan mereka dan memerintahkan kedua-duanya membela diri.

Beliau memutuskan pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie terhadap mereka.

Beliau berkata hakim Mahkamah Tinggi gagal mempertimbangkan keseluruhan keterangan saksi-saksi bahawa tahanan itu mati kerana kecederaan dialami akibat dipukul.

Hakim Tengku Maimun memerintahkan kedua-dua mereka direman sehingga kes itu selesai dan menetapkan 27 Oktober bagi sebutan kes di Mahkamah Tinggi Kangar.

Dua lagi hakim yang bersidang dalam panel itu ialah Hakim Datuk Ahmadi Asnawi dan Datuk Kamardin Hashim.

Mohd Aminnudin dan Zuhairul Effendy dituduhn membunuh warga Bangladesh yang tidak memiliki dokumen perjalanan sah di pantri pejabat Imigresen di Kompleks Kementerian Dalam Negeri di sini, antara 10 malam dan 11 malam pada 29 Oktober 2014.

Timbalan pendakwa raya Wan Shaharuddin Wan Ladin mewakili pihak pendakwaaan manakala peguam Rahamathullah Baharudeen mewakili kedua-dua tertuduh,

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 20 Oktober 2016 @ 6:35 PM