Oleh Mohamad Hussin

Kangar: Dua pegawai Imigresen mengaku tidak bersalah di Mahkamah Tinggi, di sini sebentar tadi atas pertuduhan membunuh seorang pendatang asing tanpa izin (PATI) warga Bangladesh yang berada dalam tahanan pada 29 Oktober tahun lalu.

Tertuduh, Mohd Aminnudin Mohd Yasin dan Zuhairul Effendy Zualkafli, masing-masing berusia 33 tahun, membuat pengakuan itu sebaik pertuduhan dibacakan di hadapan Pesuruhjaya Kehakiman Abu Bakar Katar.

Mengikut fakta kes, kedua-dua tertuduh didakwa mencapai niat bersama melakukan bunuh dengan menyebabkan kematian terhadap Abu Bakar Siddiqe di bilik pantri Jabatan Imigresen, di sini, antara jam 10 hingga 11 malam pada 29 Oktober tahun lalu.

Mahkamah menetapkan 29 dan 30 Januari ini untuk mendengar keterangan saksi.

Kes dikendalikan Ketua Unit Pendakwaan Negeri Badius Zaman Ahmad manakala kedua-dua tertuduh diwakili peguam Rahamatullah Baharudeen.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 8 January 2015 @ 1:01 PM