LAKUKAN pemeriksaan sendiri payu dara di rumah.
LAKUKAN pemeriksaan sendiri payu dara di rumah.
Siti Nadirah Hafidzin

Kanser payudara bukanlah penyakit yang baru dikesan di dunia dan menjadi kebimbangan setiap perempuan kerana sesiapa saja mempunyai risiko menghidap penyakit pembunuh nombor satu wanita itu.

Hakikatnya, lebih awal kanser itu dikesan lebih besar peluang rawatannya berjaya dan pesakit mampu meneruskan kehidupan sama seperti individu sihat lain.

Ramai wanita yang mempunyai kesedaran mengenai penyakit itu, namun jumlah individu yang bertindak dalam menangani penyakit terbabit amat rendah dan membimbangkan.

Sempena bulan kesedaran kanser payudara ini, setiap wanita digalakkan menjalankan pemeriksaan sendiri payu dara mereka satu kaedah yang sangat mudah, penting serta berkesan bagi mengesan penyakit itu pada peringkat awal.

Menurut Ketua Klinik Saringan Kanser & Pemeriksaan Kesihatan, Persatuan Kebangsaan Kanser Malaysia (NCSM) Dr Dalilah Kamaruddin, statistik menunjukkan hanya 21 peratus penyakit itu berjaya dikesan pada peringkat pertama, 37 peratus pada peringkat kedua dan selebihnya dikesan pada peringkat ketiga serta keempat.

“Peringkat penyakit itu dikesan amat penting kerana sekiranya berjaya mengesannya di peringkat awal, potensi untuk sembuh lebih besar.

“Justeru, kesedaran amat penting dan jangan sesekali mengambil ringan perkara ini,” ujarnya.

Katanya, pemeriksaan sendiri di rumah boleh membantu untuk mengesan penyakit itu lebih awal.

“Anda sendiri pasti mengenali dan mengetahui secara terperinci setiap perubahan pada tubuh dan payudara. Disebabkan itu, sekiranya terdapat sebarang ketulan, benjolan atau perubahan bentuk dapat dikesan melalui beberapa kaedah yang betul,” katanya.

Dr Dalilah berkata, sebarang perubahan bentuk, saiz, warna atau sebagainya pada payudara memerlukan pemeriksaan rapi dilakukan bersama pakar.

“Segera bertemu dengan doktor atau pakar perubatan berhampiran sekiranya anda mula mengesan terdapat perubahan dan kelainan pada payudara.

“Pemeriksaan saringan kanser yang dilakukan dengan cepat mampu membantu anda mendapatkan rawatan segera bagi penyakit itu,” ujarnya.

Faktor risiko:

- Individu yang sudah mengalami kanser pada sebelah payudara.

- Sejarah keluarga yang pernah menghidap kanser payudara. Risiko lebih tinggi kepada ibu, anak, adik atau kakak ahli keluarga yang mendapat kanser payudara dan risiko anda mendapat kanser selepas usia 30 tahun meningkat dua hingga tiga kali ganda.

- Wanita yang tidak pernah melahirkan anak dan berusia lebih 30 tahun.

- Wanita yang mengalami haid lebih awal (sebelum usia mencapai 12 tahun) atau lewat putus haid (selepas umur 55 tahun).

Masa untuk melakukan pemeriksaan sendiri payudara:

- Sebulan sekali

- Tujuh hingga 10 hari dari permulaan haid

- Sekiranya anda tidak lagi didatangi haid, lakukan pemeriksaan pada hari pertama setiap bulan dan catatkan dalam kalendar sebagai peringatan anda.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 17 Oktober 2016 @ 6:03 AM