SARINGAN kanser payudara adalah pemeriksaan kesihatan yang penting.
SARINGAN kanser payudara adalah pemeriksaan kesihatan yang penting.
Muhamaad Razis Ismail


KANSER payudara antara penyakit yang membimbangkan bagi rakyat Malaysia. Potensi risikonya sering diambil mudah, manakala keperluan untuk melakukan pemeriksaan rutin tidak diberi perhatian sewajarnya.

Statistik menunjukkan setiap tahun seorang daripada 19 perempuan di Malaysia berisiko mempunyai kanser payudara.

Walaupun kesedaran mengenainya semakin meningkat, hakikatnya kebanyakan wanita yang baru disahkan menghidap kanser payudara sebenarnya sudah berada pada peringkat yang teruk.

Pakar Perunding Onkologi di Pusat Perubatan Sunway, Bandar Sunway, Dr Christina Lai Nye Bing berkata, sama seperti kanser lain, kanser payudara juga boleh menyerang sesiapa sahaja.

Katanya, antara faktor yang meningkatkan risiko serangan ialah genetik, sejarah keluarga, perubahan hormon, gaya hidup, umur, kitaran haid dan menopaus.

"Ada juga sesetengah faktor risiko tidak boleh diubah. Bagaimanapun, beberapa elemen lain seperti menangguhkan kehamilan atau tidak mempunyai anak adalah perkara yang boleh dikawal individu.

"Itu sebabnya wanita yang sudah berkahwin dinasihatkan supaya mempertimbangkan keputusan membina keluarga lebih awal kerana kerjaya zaman moden sering menyebabkan perancangan keluarga tertangguh.

"Selain itu, kita lihat 50 peratus wanita yang didiagnos dengan kanser di Malaysia kini berumur bawah 50 tahun. Oleh itu, wanita yang masih muda juga sepatutnya sudah mula beri perhatian terhadap hal ini," katanya.

Beliau turut meluahkan kekecewaan apabila pesakit menunggu sehingga ketulan pada payudara berubah menjadi sakit dan bertambah besar sebelum hadir mendapatkan rawatan sedangkan rawatan awal boleh membuahkan hasil yang jauh lebih baik.

"Ini berlaku apabila pesakit menunggu sehingga lapan bulan sebelum berjumpa doktor. Pada ketika itu, ketulan sudah membesar sehingga lima sentimeter dan kanser sudah merebak ke tulang belakang menyebabkannya berada pada tahap empat kanser payudara.

"Lebih menyedihkan, keadaan seperti ini selalu berlaku sehingga membuatkan kita berfikir apa akan berlaku sekiranya pesakit itu mendapatkan rawatan lebih awal," katanya.

Jelasnya, kebanyakan individu sering mengelak melakukan ujian mamogram dengan alasan tidak selesa.

"Namun, saringan kanser payudara adalah pemeriksaan kesihatan yang penting. Sekiranya proses itu menggerunkan, anda boleh membawa rakan untuk memberi sokongan moral.

"Penggunaan teknologi diagnostik seperti mamografi tiga dimensi (3D) dapat meningkatkan ketepatan pengesanan awal termasuk dalam kalangan pesakit dengan tisu payudara yang padat. Bagaimanapun, langkah yang paling kritikal bermula di rumah iaitu pemeriksaan kendiri payudara kerana anda lebih mengenali tubuh sendiri," katanya.

Mengulas lanjut, pengesanan awal adalah asas untuk meningkatkan hasil rawatan kanser payudara.

"Apabila anda kerap membuat pemeriksaan kesihatan termasuk mamogram, pemeriksaan klinikal payudara dan pemeriksaan kendiri, ini dapat membantu mengesan kanser pada peringkat paling awal yang boleh dirawat.

"Kadar kesembuhan individu yang dikesan dengan kanser payudara pada peringkat awal adalah lebih tinggi berbanding pesakit yang sudah teruk, tetapi belum merebak ke anggota badan lain (Tahap 3) atau metastatik (Tahap 4)," katanya.

Katanya, seiring peredaran masa, kemajuan terkini dalam saringan dan bidang onkologi memberikan sinar harapan baharu kepada wanita yang menghidap kanser payudara.

"Status hormon dan kajian genomik memberi maklumat penting yang membolehkan pakar onkologi menyesuaikan rawatan dengan keadaan unik setiap pesakit.

"Ini membuka ruang kepada rawatan bersasar yang boleh mengecutkan atau menghapuskan tumor dengan ketara. Pesakit hari ini juga kurang mengalami kesan sampingan disebabkan hasil inovasi seperti penggunaan mesin kemoterapi yang dapat memelihara rambut, pembedahan onkoplastik untuk pembinaan semula payudara dan ubat antimuntah yang ditambah baik," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 1 Disember 2023 @ 6:45 AM