RISIKO kanser payudara meningkat seiring dengan peningkatan usia.
RISIKO kanser payudara meningkat seiring dengan peningkatan usia.
Fairul Asmaini Mohd Pilus


STATISTIK menunjukkan seorang daripada 19 wanita di negara ini menghadapi risiko untuk mendapat kanser payudara pada satu ketika dalam hidup mereka.

Penyakit yang boleh membawa maut itu juga meragut kira-kira 3,500 nyawa setiap tahun. Ia adalah penyakit utama wanita di seluruh dunia dan juga di Malaysia.

Data itu secara tidak langsung menunjukkan terdapat keperluan kritikal untuk mewujudkan lebih banyak kesedaran dan pemahaman menyeluruh mengenai faktor risiko yang boleh menyumbang kepada kanser payudara.

Menurut Pakar Perunding Onkologi Pusat Perubatan Sunway Velocity (SMCV), Dr Hafizah Zaharah Ahmad, adalah penting untuk difahami bahawa menopaus itu sendiri secara semula jadi tidak meningkatkan risiko untuk mendapat kanser payudara.

Sebaliknya, risiko kanser payudara meningkat seiring dengan peningkatan usia dan fasa berbeza dalam kehidupan seseorang wanita yang membawa kepada perubahan hormon yang berbeza.

Kata Dr Hafizah, perubahan itu memainkan peranan penting dalam risiko kanser payudara terutamanya disebabkan pengaruh hormon seperti estrogen dan progesteron pada tisu payudara.

Katanya, tahap estrogen yang tinggi terutamanya dalam tempoh berpanjangan boleh merangsang pertumbuhan sel payudara dan meningkatkan risiko mutasi yang boleh menyebabkan kanser.

"Inilah sebabnya mengapa faktor seperti awal mendapat haid, lewat mendapat menopaus dan terapi penggantian hormon dikaitkan dengan risiko kanser payudara yang lebih tinggi kerana ia mendedahkan tisu payudara kepada estrogen untuk tempoh yang lebih lama.

"Bagaimanapun, kehamilan dan penyusuan susu ibu dapat mengurangkan pendedahan wanita kepada estrogen secara sementara serta mungkin memberi perlindungan terhadap kanser payudara.

WANITA disarankan untuk mengamalkan pemakanan sihat, kekal aktif dan mengekalkan berat badan yang sihat.
WANITA disarankan untuk mengamalkan pemakanan sihat, kekal aktif dan mengekalkan berat badan yang sihat.

"Namun begitu, risiko itu mungkin meningkat selepas bersalin jika kehamilan pertama berlaku ketika wanita itu lebih berusia," katanya.

Menjelaskan dengan lebih lanjut, Pakar Perunding dan Pakar Bedah Payudara, Endokrin Pembedahan Am dari hospital yang sama, Dr Suziah Mokhtar berkata, risiko kanser payudara boleh dikategorikan kepada dua jenis utama iaitu pramenopaus dan menopaus.

Kata Dr Suziah, pramenopaus dikaitkan dengan risiko yang lebih tinggi untuk mendapat kanser payudara hormon reseptor positif (HR+) dan selepas menopaus, di mana terdapat peningkatan risiko untuk kanser payudara hormon reseptor negatif (HR-).

Tambah beliau, kanser payudara cenderung untuk menjadi lebih agresif dalam kalangan wanita yang lebih muda dan di fasa pramenopaus berbanding wanita yang lebih tua serta sudah menopaus.

"Wanita pramenopaus dengan HR+ mungkin lebih sesuai untuk dirawat dengan menggunakan ubat-ubatan yang menyekat tindakan estrogen.

"Untuk wanita selepas menopaus dengan kanser payudara jenis HR+, ubat alternatif untuk menurunkan paras estrogen juga boleh digunakan.

"Apabila wanita HR+ pramenopaus mendapat rawatan menggunakan ubat untuk menurunkan tahap estrogen, mereka mungkin akan mengalami menopaus kimia disebabkan penggunaan ubat yang merangsang otak untuk menyekat ovulasi dan pengeluaran hormon ovari," katanya yang mengakui risiko kanser payudara menjadi lebih tinggi jika terapi penggantian hormon digunakan secara lebih lama.

Dalam pada itu, gaya hidup sihat adalah kunci untuk menghindari pelbagai isu kesihatan dan ia juga penting dalam penjagaan penyakit kanser.

Menurut Dr Hafizah, lemak dalam badan wanita menukarkan sesetengah bahan dalam darah kepada hormon wanita yang seterusnya dapat mendorong kepada pertumbuhan kanser payudara.

Oleh itu, golongan wanita disarankan untuk mengamalkan pemakanan sihat, kekal aktif dan mengekalkan berat badan yang sihat untuk mengurangkan risiko perkembangan kanser.

Ini kerana kata beliau, obesiti sememangnya dapat mengganggu keseimbangan hormon dalam badan.

"Apabila berat badan bertambah, lebih banyak insulin, hormon yang dihasilkan pankreas perlu dirembeskan untuk mengelakkan kenaikan paras gula yang berlebihan.

"Selain daripada mengawal paras gula, insulin meningkatkan pengeluaran sel dan mengurangkan kematian sel.

"Ini bermakna, terdapat lebih banyak peluang untuk sesuatu yang tidak kena berlaku dalam badan dan seterusnya menyebabkan kanser berlaku," katanya.

KEHAMILAN dan penyusuan susu ibu dapat mengurangkan pendedahan wanita kepada estrogen secara sementara serta memberi perlindungan daripada kanser payudara.
KEHAMILAN dan penyusuan susu ibu dapat mengurangkan pendedahan wanita kepada estrogen secara sementara serta memberi perlindungan daripada kanser payudara.

Sementara itu, apabila bercakap mengenai menopaus dan kanser payudara, ramai yang tidak dapat membezakan antara fakta atau mitos kerana terdapat banyak maklumat yang dikongsi mengenainya.

Sebagai contoh, sesetengah orang mungkin mempunyai tanggapan bahawa menopaus bertindak sebagai perisai terhadap kanser payudara atau mamogram tidak lagi perlu dilakukan wanita yang sudah menopaus.

Jelas Dr Hafizah, risiko kanser payudara meningkat seiring usia dan risikonya lebih tinggi bagi wanita yang belum mengalami menopaus.

Namun ia tidak bermakna wanita menopaus benar-benar kebal kerana kanser payudara boleh dan memang berlaku semasa serta selepas menopaus.

Satu lagi tanggapan salah yang berbahaya ialah mengenai bagaimana ujian mamogram tidak diperlukan oleh wanita yang sudah menopaus.

Sebaliknya, mamogram kekal sebagai ujian saringan penting untuk mengesan kanser payudara bagi wanita menopaus dan pengesanan awal melalui kaedah itu boleh menyelamatkan nyawa," katanya.

Rawatan untuk kanser payudara pula biasanya membabitkan gabungan pembedahan, kemoterapi, radioterapi, terapi hormon atau endokrin dan terapi sasaran yang akan disesuaikan dengan ciri-ciri khusus kanser payudara terbabit.

Faktor genetik, sejarah keluarga dan persekitaran lain juga memainkan peranan dalam menentukan risiko individu untuk mendapat kanser payudara.

Namun, pemeriksaan kanser payudara yang kerap dan konsultasi dengan pakar perubatan boleh membantu dalam penilaian serta pengurusan risiko kanser payudara dengan berkesan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 11 Oktober 2023 @ 7:00 AM