ISTANA Nagoya di tengah Jepun dilitupi salji.
ISTANA Nagoya di tengah Jepun dilitupi salji.

Tokyo: Sekurang-kurangnya lima maut akibat salji tebal yang melitupi sebahagian besar Jepun, semalam.

Dalam pada itu, ada beberapa kawasan di negara itu ditenggelami sehingga dua meter.

Dua wanita warga emas terbunuh di Hokkaido apabila seorang daripada mereka dirempuh kereta penyodok salji manakala seorang mati tertimbus selepas sebuah gudang runtuh akibat ditimpa salji yang terlalu tebal.

Sementara itu, dua lelaki masing-masing di Hokkaido dan Hiroshima maut dalam kemalangan jalan raya di jalan yang ditimbuni salji.

Seorang lagi berusia 68 tahun ditemui mati di luar rumahnya di Nigata di pulau Honshu. Menurut laporan, dia jatuh ketika membersihkan salji di bumbung garaj kediamannya.

Salji lebat juga menyebabkan gangguan perjalanan apabila 100 penerbangan tempatan dibatalkan - tambahan kepada 450 penerbangan termasuk antarabangsa yang dibatalkan kelmarin.

Perkhidmatan rangkaian kereta api berkelajuan tinggi turut terjejas. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 19 Disember 2014 @ 5:13 AM