AFP

New York: Ribut salji melanda kawasan timur laut Amerika Syarikat (AS), semalam, mengakibatkat ribuan penerbangan dibatalkan, sekolah ditutup dan program vaksinasi Covid-19 ditangguh.

Perkhidmatan Cuaca Kebangsaan (NWS) mengeluarkan amaran ribut salji dari Virginia ke Maine, menjejaskan puluhan juta penduduk dengan salji lebat diiringi angin hingga 80 kilometer (km) sejam mendorong keadaan seperti ribut salji di pesisir timur negara itu.

New York turut mengisytiharkan 'darurat' dan menyekat perjalanan tidak penting selain menjadual semula suntikan vaksin, manakala kanak-kanak kembali ke pembelajaran dalam talian ketika bandar itu hampir dilitupi kira-kira 60 sentimeter salji.

Lori garam dan bajak salji melintasi jalan di New York City yang lebih tenang daripada biasa susulan Datuk Bandar Bill de Blasio mengumumkan kanak-kanak duduk di rumah dan belajar secara dalam talian, hari ini.

Lebih 1,600 penerbangan dibatalkan, kebanyakannya di lapangan terbang di New York, Boston, Philadelphia dan Washington.

Syarikat penerbangan membatalkan semua penerbangan masuk dan keluar dari Lapangan Terbang La Guardia dan JFK, manakala 71 peratus penerbangan di Lapangan Terbang Newark Liberty dibatalkan.

PANCUTAN air beku dirakam individu di New York City pada 1 Feb. FOTO AFP
PANCUTAN air beku dirakam individu di New York City pada 1 Feb. FOTO AFP

Menurut NWS, salji setebal 38.86 sentimeter direkodkan di Central Park, 4 petang, semalam, dengan 20.32 sentimeter salji turun dalam tempoh enam jam.

Salji dijangka berterusan hingga pagi Selasa dengan pengkaji cuaca meramalkan 50.8 sentimeter salji sebelum ribut ini bergerak ke timur laut melalui New England.

Jumlah salji paling banyak direkodkan adalah pada Januari 2016 apabila salji setebal 69.85 sentimeter melanda kawasan itu.

KERETA peronda polis diselaputi salji ketika ribut di New York pada 1 Feb. FOTO EPA
KERETA peronda polis diselaputi salji ketika ribut di New York pada 1 Feb. FOTO EPA

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 2 Februari 2021 @ 5:13 PM