AHMAD Phesal (dua dari kiri) bertukar perjanjian persefahaman projek perkongsian kereta elektrik dengan Suhaimi (kanan) disaksikan Timbalan Ketua Pengarah, Perlaksanaan Projek DBKL, Datuk Mohd Najib Mohammad (kiri) dan Ahli Lembaga dan Penasihat DBKL, Wilson Lan, (dua kanan).
AHMAD Phesal (dua dari kiri) bertukar perjanjian persefahaman projek perkongsian kereta elektrik dengan Suhaimi (kanan) disaksikan Timbalan Ketua Pengarah, Perlaksanaan Projek DBKL, Datuk Mohd Najib Mohammad (kiri) dan Ahli Lembaga dan Penasihat DBKL, Wilson Lan, (dua kanan).
Oleh Sri Ayu Kartika Amri

Kuala Lumpur: KL Electric Mobility Sdn Bhd, anak syarikat milik penuh Masers Energy Inc memperuntukkan pelaburan RM1.5 bilion bagi mewujudkan 3,000 stesen pengecas kenderaan elektrik mesra alam menerusi projek perkhidmatan perkongsian kereta yang dikenali sebagai KL Electric A-gogo.

Pengerusi dan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Seri Suhaimi Abdul Rahman berkata, pihaknya memeterai perjanjian dengan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) untuk merevolusikan pasaran automotif dengan mempromosikan kenderaan mesra alam.

Beliau berkata, projek perkongsian terbabit dibangunkan oleh KL Electric Mobility meliputi kawasan segi tiga emas Kuala Lumpur dan 3,000 stesen terbabit akan dibina dalam tempoh dua tahun bermula bulan depan.

“Bagi fasa pertama, kami akan membuka lebih kurang 50 stesen kenderaan elektrik dan membawa masuk sebanyak 150 model kereta elektrik Autolib dari Perancis.

“Kami jangkakan ia akan siap sepenuhnya dalam tempoh enam bulan dan suku pertama 2015 kami akan mulakan projek ini. Untuk fasa pertama anggaran pelaburan adalah sebanyak AS$20 juta (RM70 juta),” katanya pada sidang media selepas menandatangani perjanjian bersama DBKL diwakili Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri Ahmad Phesal Talib di sini, semalam.

Suhaimi berkata, KL Electric adalah perkhidmatan yang membawa seseorang daripada satu tempat ke tempat yang lain dengan hanya menggunakan perkhidmatan perkongsian kereta elektrik tanpa perlu menggunakan perkhidmatan teksi, bas atau LRT.

Sementara itu, Ahmad Phesal berkata, menerusi kerjasama itu, pihaknya komited untuk menyumbang matlamat Malaysia bagi mengurangkan pelepasan gas karbon monoksida sebanyak 40 peratus menjelang 2020.

“Dengan memperkenalkan perkhidmatan perkongsian kereta elektrik ini juga, ia akan menjadi alternatif baru kepada mod pengangkutan awam dengan memberi lebih pilihan kepada warga kota.

“DBKL akan memberi kerjasama menimbang dan memberikan kelulusan ke atas permohonan cadangan lokasi penempatan khas kereta elektrik di sekitar bandar raya Kuala Lumpur,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 19 Disember 2014 @ 5:12 AM