TENGKU Zafrul melawat pameran pada majlis pelancaran EMA 2023 di Kuala Lumpur, semalam. - Gambar NSTP/SADIQ SANI
TENGKU Zafrul melawat pameran pada majlis pelancaran EMA 2023 di Kuala Lumpur, semalam. - Gambar NSTP/SADIQ SANI
Sri Ayu Kartika Amri


Kuala Lumpur: Kerajaan komited untuk menyokong sepenuhnya ekosistem industri Kenderaan Elektrik (EV) negara bagi meneroka peluang pasaran EV di Asean yang dianggarkan bakal mencecah AS$2.7 bilion (RM12.6 bilion) menjelang 2027.

Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri (Miti) Tengku Datuk Seri Utama Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, perkembangan EV di Asean juga mampu mencapai kadar pertumbuhan tahunan terkompaun (CAGR) kira-kira 33 peratus dalam tempoh dari 2022 hingga 2027.

Justeru katanya, kerajaan akan menyokong pertumbuhan EV yang teguh di negara ini dan menjadikan mobiliti hijau sebahagian daripada pengangkutan arus perdana.

"Sebagai Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, saya mempengerusikan Jawatankuasa Pemandu EV Kebangsaan (NEVSC), di mana rakan-rakan Kabinet saya daripada kementerian berkaitan seperti pengangkutan dan kerajaan tempatan turut terbabit membincangkan hala tuju EV di negara ini.

"Tanggungjawab utama kami ialah menyusun strategi secara holistik dan melaksanakan pembangunan EV dan ekosistemnya di seluruh negara.

"Dalam mendapatkan asas yang betul pada ekosistem Kenderaan Generasi Akan Datang (NxGV), kami bersungguh-sungguh membina infrastruktur yang diperlukan untuk mencapai sasaran kami supaya EV dan hibrid menyumbang 20 peratus daripada jualan kereta baharu menjelang 2030, 50 peratus menjelang 2040 dan 80 peratus menjelang 2050.

"Dengan EV, kebimbangan utama pengguna ialah infrastruktur mengecaj, yang menyumbang kepada pelbagai kebimbangan.

"Dalam menyelesaikan isu ini, kami berazam untuk meningkatkan infrastruktur pengecasan Malaysia untuk mempunyai 10,000 stesen pengecas awam menjelang 2025 di lokasi yang strategik dan mudah diakses," katanya di majlis pelancaran E-Mobility Asia (EMA) 2023 di sini, semalam.

Zafrul berkata, NEVSC juga menumpukan pada kelulusan pantas untuk pengendali titik caj (CPO) untuk memasang infrastruktur kritikal yang diperlukan, bagi membolehkan penyediaan berpuluh ribu sambungan standard dan boleh dipercayai di seluruh negara.

Beliau berkata, pihaknya menyedari bahawa masa depan e-mobiliti dan kemudahan yang berkaitan untuk pelanggan dan alam sekitar terletak tepat dalam perkongsian rentas kementerian yang kolaboratif.

"Pencapaiannya membanggakan di mana tahun lalu sahaja, saya sudah melancarkan atau menyaksikan kemunculan sulung hab pengecasan pantas DC superpower pengecas pertama di Malaysia yang mana sekurang-kurangnya lima jenama EV berbeza ada di pasaran Malaysia termasuk sistem penyimpanan tenaga bateri pertama, prime mover tugas berat elektrik pertama untuk pasaran Malaysia dan Asia Tenggara dan basikal elektrik, termasuk yang mempunyai kemudahan menukar bateri," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 23 November 2023 @ 6:05 AM