Kesan kebakaran yang berlaku di tingkat atas sebuah rumah kedai di Taman Melawati, Skudai di sini, petang hari ini. Foto Ihsan JBPM
Kesan kebakaran yang berlaku di tingkat atas sebuah rumah kedai di Taman Melawati, Skudai di sini, petang hari ini. Foto Ihsan JBPM
Omar Ahmad

Johor Bahru: Lelaki ditemui meninggal dunia selepas melecur separuh badan dalam kejadian kebakaran rumah kedai di Taman Melawati, Skudai di sini, petang hari ini.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Skudai Penolong Kanan Penguasa Bomba Mohamad Riduan Akhyar berkata, mangsa ditemui dengan kesan melecur dari kepala hingga dada.

Menurutnya, mangsa yang maut itu dikenali sebagai Pan Cheng Bin, 29.

"Pusat Gerakan Operasi (PGO) Johor pada awalnya menerima panggilan kecemasan kebakaran kedai pada 6.04 petang dan menggerakkan satu jentera serta Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) dengan kekuatan 12 anggota.

"Setiba di lokasi kejadian didapati berlaku kebakaran membabitkan sebuah rumah kedai dua tingkat.

"Kebakaran itu membabitkan perkakas yang berada di dalam bilik dan ruang tamu di tingkat rumah kedai berkenaan.

"Kebakaran dipadam oleh orang awam sebelum pihak kami tiba di lokasi kejadian," katanya.

Menurut Riduan, mangsa kemudiannya diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya.

"Punca kebakaran dan anggaran kerugian masih dalam siasatan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 21 September 2020 @ 11:27 PM