KEADAAN rumah yang musnah dibakar seorang lelaki. FOTO Ihsan Bomba Selangor.
KEADAAN rumah yang musnah dibakar seorang lelaki. FOTO Ihsan Bomba Selangor.
Ruwaida Md Zain


Klang: Seorang lelaki tempatan yang membakar rumah keluarganya selepas gagal mendapatkan wang daripada ibunya ditahan di Kampung Bukit Kapar di sini, semalam.

Ketua Polis Daerah Klang Utara, Asisten Komisioner S Vijaya Rao berkata, suspek yang berusia lingkungan 30-an itu ditangkap di sekitar lokasi kejadian kira-kira 6 petang.

"Polis menerima laporan mengenai kebakaran itu daripada seorang wanita berusia 37 tahun dan bekerja sebagai kerani pada 3.30 petang

"Menurut wanita itu, dia mendapat maklumat rumahnya di Kampung Bukit Kapar terbakar ketika di tempat kerja sebelum bergegas pulang.

"Setiba di rumah, api sedang marak dan bomba sedang berusaha memadamkan api," katanya dalam kenyataan hari ini.

Vijaya Rao berkata, hasil siasatan dijalankan mendapati, rumah terbabit adalah rumah kampung jenis berkembar dua.

"Wanita itu adalah anak saudara suspek dan tinggal bersebelahan rumahnya.

"Sebelum kejadian berlaku, suspek berjumpa dengan ibunya (nenek wanita berkenaan) tidak jauh dari tempat kejadian untuk meminta wang tetapi gagal.

"Sebelum beredar, suspek mengugut akan membakar rumah jika ibunya tidak memberikan wang," katanya.

Beliau berkata, siasatan juga mendapati, suspek adalah seorang penganggur baru keluar dari penjara atas kesalahan dadah.

"Suspek direman selama empat hari bermula semalam hingga 15 Oktober ini, kes disiasat mengikut Seksyen 435 Kanun Keseksaan," katanya.

Sementara itu, Pengarah Bomba Selangor, Norazam Khamis ketika dihubungi berkata, pihaknya menerima panggilan dari orang awam berhubung kebakaran itu pada 3.34 petang semalam.

"Setiba di lokasi, api sedang marak di mana kebakaran membabitkan rumah setingkat, bangunan kelas C.

"Anggaran kemusnahan adalah 90 peratus dan kebakaran berjaya dikawal pada jam 3.50 petang oleh pasukan bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kapar dan BBP Kota Anggerik.

"Bagaimanapun, tiada kemalangan jiwa dilaporkan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 12 Oktober 2021 @ 4:27 PM